WILAYAH - UTARA > BERITA

PDC Pastikan Projek Pelebaran Jalan Tok Kangar Siap Ikut Jadual

23/11/2024 07:57 PM

BUKIT MERTAJAM, 23 Nov (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) akan mengambil tindakan lebih proaktif untuk memastikan projek pelebaran Jalan Tok Kangar, Juru di sini dapat disiapkan mengikut jadual demi keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya.

Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dalam kenyataan memaklumkan PDC memberi komitmen akan memastikan tindakan segera diambil bagi setiap aduan yang diterima.

"Projek pelebaran Jalan Tok Kangar itu dilaksanakan dalam dua fasa dan fasa satu melibatkan pembinaan struktur jambatan baharu sepanjang 275 meter serta telah dijalankan pada 18 Jan 2016 dan disiapkan pada 12 Dis 2018.

"Projek fasa dua melibatkan kerja-kerja pelebaran jalan dan menaik tarat jalan sedia ada dari persimpangan lampu isyarat Auto City iatu Jalan Perusahaan/Jalan Kebun Nenas ke persimpangan Taman Seri Delima/Taman Delima Jati," menurut kenyataan itu hari ini.

Semalam, media melaporkan penduduk di sekitar kawasan Juru menuntut penjelasan dan tindakan segera kerajaan dalam menangani isu kesesakan trafik serta jalan rosak di Jalan Tok Kangar di sini selepas didakwa berlarutan lebih lapan tahun. 

Masalah yang berlaku bukan sahaja mengakibatkan mereka terperangkap dalam kesesakan terutamanya pada waktu puncak malah lebih teruk bila kawasan itu sering dilanda banjir kilat.

Sementara itu, MBSP memaklumkan kontraktor telah kemukakan notis pada 24 Jun lepas dan telah memohon membuat penamatan kontrak secara bersama.

Menurut MBSP, pihak PDC ketika ini dalam proses menamatkan kontrak projek itu dan akan melantik kontraktor penyiap bagi baki kerja-kerja pembinaan di tapak.

"Tindakan selanjutnya yang akan diambil selepas notis penamatan dikeluarkan, kontraktor penyelenggaraan yang dilantik PDC akan mengambil alih untuk menyelenggara jalan tersebut sementara menunggu kontraktor penyiap memulakan kerja," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan