WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Teo Gesa Pencipta Kandungan Golongan Muda Terap Nilai Komuniti

24/11/2024 12:59 AM

PETALING JAYA, 23 Nov (Bernama) -- Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching menggesa pencipta kandungan dalam kalangan golongan muda untuk menumpukan kepada penghasilan kandungan bermakna yang mencerminkan nilai, warisan dan identiti masyarakat.

Berucap pada Anugerah Festival Video Untuk Kanak-Kanak Asia Tenggara (SEAVFC) Kali Ke-4 di sini malam ini, Teo berkata Kementerian Komunikasi mengiktiraf peranan penting pencipta kandungan dalam membentuk masyarakat.

“Matlamat kami bukan hanya untuk menggalakkan lebih banyak penghasilan kandungan, tetapi juga untuk memupuk kandungan bermakna yang mencerminkan nilai-nilai komuniti kita,” katanya. 

Beliau turut menekankan bahawa penciptaan sesuatu kandungan bukan semata-mata berkisar mengenai  jumlah 'view’ (tontonan) atau 'like’ (tanda suka), sebaliknya kesan kekal yang ditinggalkan kandungan terbabit.

“Sesebuah video mungkin hanya beberapa minit, namun impaknya boleh berterusan selama bertahun-tahun terutama apabila melibatkan kanak-kanak, kandungan anda berpotensi untuk membentuk cara mereka melihat dunia,” katanya.  

Teo berkata pada masa ini, penghasilan kandungan menjadi lebih mudah dengan adanya platform seperti TikTok dan YouTube, ditambah dengan perisian seperti CapCut dan Adobe Premiere Pro, sekali gus memberi peluang kepada semua orang untuk menghasilkan kandungan.

Bagaimanapun, beliau berkata pencipta kandungan perlu menyedari bahawa tidak semua kandungan mempunyai nilai intrinsik hanya kerana ia mudah untuk dihasilkan.

 Dalam pada itu, Teo berkata festival berkenaan menandakan persediaan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, memberikan peluang untuk mengetengahkan kekuatan unik rantau ini.

“Ini peluang kita untuk mengetengahkan apa yang menjadikan Asia Tenggara begitu istimewa, kaya dengan kepelbagaian, budaya dan nilai-nilai yang dikongsi,” katanya. 

Antara pemenang adalah Anugerah Hati (Kategori Profesional) yang diraih Upin & Ipin: Our Friend Susanti dari Malaysia manakala Anugerah Hati (Kategori Kanak-kanak) diberikan kepada Kisapmata dari Filipina. 

Acara diakhiri dengan simbolik penyerahan tugas penganjuran kepada Thailand, yang akan menjadi tuan rumah kepada SEAVFC ke-5, mencerminkan semangat kerjasama dalam memupuk persefahaman silang budaya menerusi penceritaan kreatif.

SEAVFC adalah inisiatif hasil kerjasama dalam kalangan negara ASEAN yang telah bermula sejak 2017 dan bertujuan menggalakkan kandungan kreatif untuk, oleh dan mengenai kanak-kanak.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan