WILAYAH - TENGAH > BERITA

KUSKOP Salur RM6.45 Bilion Pembiayaan Kepada 612,692 Usahawan Setakat Sept 2024

24/11/2024 11:19 AM

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) berjaya membantu seramai 612,692 usahawan melibatkan nilai pembiayaan berjumlah RM6.45 bilion bagi tempoh Januari hingga 30 September tahun ini.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata usahawan itu terdiri daripada usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) koperasi, perusahaan sosial, usahawan informal, penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara yang menerima manfaat daripada pelaksanaan 206 program yang dilaksanakan kementerian dan agensi.

“Ia merangkumi aspek pembiayaan, pembangunan kapasiti, adaptasi digitalisasi dan automasi, peluasan akses pasaran dan pembudayaan keusahawanan,” katanya dalam kenyataan sempena Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024.

Ewon berkata dalam tempoh dua tahun pentadbiran Kerajaan MADANI, Kuskop melaksanakan pelbagai inisiatif dan program merangkumi aspek penggubalan dasar, tadbir urus dan kawal selia, pembangunan kapasiti, akses pembiayaan, akses pasaran, adaptasi teknologi dan pengukuhan penyampaian perkhidmatan.

Langkah ini bertujuan menyediakan ekosistem kondusif bagi menyokong pemecutan pertumbuhan dan kestabilan sektor keusahawanan negara, mempertingkat skala dan daya saing usahawan dan koperasi serta memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan keusahawanan supaya lebih fasilitatif dan efektif, katanya.

Menurutnya Kuskop telah membangunkan dasar, garis panduan dan pelan tindakan seperti Pelan PMKS 2030, Dasar Koperasi Malaysia 2030 serta Dasar Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil Negara 2030.

“Selain itu, kementerian juga menyediakan Garis Panduan Pelaksanaan Program SDSI Versi 2.0, Garis Panduan Aspek Kawal Selia Perniagaan Dari Rumah, Pelan Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil 2023-2027, Pelan Pemformalan Usahawan Informal dan Pelan Tindakan Digitalisasi Koperasi 2030,” katanya.

Ewon berkata antara program dan inisiatif baharu yang diperkenalkan kementerian tahun ini adalah Program Pembangunan Premis Tamu Desa untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur dalam membantu peniaga kecil di desa dan luar bandar khususnya di Sabah dan Sarawak.

“Pada tahun ini sebanyak 92 tapak Tamu Desa dibina baharu dan dinaik taraf dengan peruntukan RM19 juta di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Dari segi inisiatif pembiayaan di bawah agensi pembiaya Kuskop dalam tempoh Januari hingga September tahun ini, katanya sejumlah RM6.45 bilion pembiayaan telah disalurkan kepada 265,325 usahawan menerusi skim pembiayaan PMKS melalui Tekun Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia, Bank Rakyat, SME Bank, SME Corp dan Perbadanan Nasional Bhd.

Ewon berkata, dalam tempoh sama, Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan (JMKU) yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia merekodkan jualan RM8.54 juta melibatkan 254,568 pengguna melalui 95 program JMKU di seluruh negara.

Mengenai pencapaian Kuskop dari segi program bimbingan dan latihan, kementerian berjaya membimbing dan melatih 8,308 usahawan melalui aspek pengurusan perniagaan dan kewangan serta pemasaran produk di bawah Institut Keusahawan Negara, katanya.

Menurutnya Kuskop juga melaksanakan Misi Pengembangan Perdagangan Usahawan Halal, Vendor dan Francais di Jepun, Perancis, Jerman dan Arab Saudi.

“Dalam tempoh Januari hingga September tahun ini, sejumlah RM1.53 bilion nilai jualan sebenar dan potensi nilai jualan direkodkan dalam 16 misi perdagangan antarabangsa melibatkan 289 usahawan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan