WILAYAH - UTARA > BERITA

Teroka Kredit Karbon Bantu Capai Sasaran Kutipan Hasil Negeri Kedah RM1 Bilion Setahun

24/11/2024 03:18 PM

ALOR SETAR, 24 Nov (Bernama) -- Penerokaan hasil baharu seperti kredit karbon menjadi antara teras untuk mencapai sasaran kutipan hasil negeri sebanyak RM1 bilion setahun, kata Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau berkata potensi untuk mendapatkan hasil daripada penjualan karbon kepada syarikat domestik dan antarabangsa yang ingin memenuhi piawaian mesra alam, sememangnya mampu menjana pendapatan lumayan kepada kerajaan negeri.

Selain itu katanya penerokaan unsur nadir bumi (REE) akan diteruskan bagi memastikan hasil baharu itu akan membawa manfaat kepada rakyat negeri ini.

"Kerajaan negeri mengkategorikan REE sebagai sumber hasil paling berdaya maju untuk tahun-tahun mendatang," katanya semasa membentangkan Belanjawan Kedah 2025 di Dewan Undangan Negeri Kedah di sini hari ini.

Menurutnya rizab REE negeri dianggarkan berjumlah 1.196 juta tan dan angka tersebut merupakan penerokaan hasil baharu yang dijangka diekstrak dalam tempoh 10 tahun akan datang.  

"Kita mengharapkan potensi REE akan membawa impak besar kepada ekonomi negeri, justeru kerajaan Persekutuan diharap dapat menyegerakan prosedur operasi standard yang betul dalam pengekstrakan unsur nadir bumi," katanya.

Muhammad Sanusi berkata kerajaan negeri memerlukan kedudukan kewangan yang kukuh untuk dibelanjakan bagi memenuhi keperluan rakyat yang semakin meningkat.

Menurutnya dengan usaha serta komitmen tinggi semua agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan, pihaknya yakin sasaran untuk mencapai hasil negeri RM1 bilion dalam tempoh dua tahun akan datang, mampu untuk dicapai.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan