WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Ekspo Kampung Baru 2024 Jana Jualan Bernilai RM123,000 - Nga

24/11/2024 04:24 PM

IPOH, 24 Nov (Bernama) -- Ekspo Kampung Baru Tahun 2024 yang julung kalinya diadakan bagi memperkenalkan produk tempatan telah berjaya meraih hasil jualan bernilai RM123,000 setakat 10 pagi tadi, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Beliau berkata ekspo di Dewan Bandaran Ipoh yang bermula pada 22 hingga hari ini adalah anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama Persatuan Kebajikan Ahli-Ahli Kraf Kebangsaan serta Kelab Peminat Buku Komuniti Si Zirafah Ulu Langat.

“Ekspo ini adalah bukti bagaimana kerajaan MADANI membantu rakyat kita supaya tidak bergantung kepada subsidi, namun dengan semangat berdiri di atas kaki sendiri serta dengan adanya inisiatif kerajaan seperti ini, ia mampu membantu meningkatkan pendapatan mereka.

“Sekarang ini adalah kali pertama (anjuran) kita lihat banyak produknya, bermula daripada makanan dan minuman… macam-macam sambal ada, sambal udang, ikan bilis, jadi tahun depan saya harap mungkin ada kraf tangan, produk lebih unik yang boleh dikemukakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Ekspo Kampung Baru Tahun 2024 dan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kampung Good Zon Utara di sini hari ini.

Nga berkata pada tahun ini ekspo berkenaan berlangsung di Semenanjung Utara, sementara tahun depan di Semenanjung Selatan (Johor) manakala 2026 di Lembah Klang sempena Tahun Melawat Malaysia melibatkan penyertaan daripada seluruh negara. 

Beliau berkata setakat ini terdapat kira-kira 15,000 kampung tradisi dan 613 kampung baru, dengan Perak merupakan negeri yang paling banyak mempunyai kampung baru iaitu 163.

“Program Sejati MADANI telah memperuntukkan jumlah yang besar oleh Jabatan Perdana Menteri iaitu RM1 bilion kepada semua kampung tradisi, komuniti Program Perumahan Rakyat dan kampung baru untuk mereka memohon supaya peruntukkan ini diberikan kepada mereka, mempromosi produk-produk kampung bagi meningkatkan pendapatan serta melonjakkan dan merancakkan lagi ekonomi komuniti.

“Sukacita dimaklumkan untuk kampung baru setakat hari ini antara 613 kampung, sebanyak 242 kampung baru sudah memohon dan 122 telahpun diberikan kelulusan dan setiap kampung menerima RM100,000, dengan kata lain RM12.2 juta telah diluluskan untuk Program Ekonomi Sejati MADANI (SejaTi MADANI),” katanya.

Sementara itu berhubung isu lesen penjualan vape dan rokok elektronik, beliau berkata pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM) serta bersama-sama memperhalusi peraturan berkaitan perkara itu sebelum menguatkuasakan undang-undang di seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Berkaitan vape ini, kita akan bincang dengan Kementerian Kesihatan supaya menghalusi peraturan sekiranya kita dapat capai kata sepakat, ini akan kita kuatkuasakan kepada seluruh PBT di seluruh negara,” katanya.

Pada 19 Nov lepas, media melaporkan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kerajaan akan terus mengamalkan pendekatan kawal selia terhadap vape menerusi Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang dikuatkuasakan mulai 1 Okt lepas.

Beliau dilaporkan berkata Kerajaan Persekutuan kekal dengan pendirian tidak mengharamkan penjualan vape pada peringkat nasional, namun menyerahkan kepada kerajaan negeri untuk menentukan dasar masing-masing termasuk melarang penjualan vape, melalui PBT.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan