WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Hospital Pasir Gudang Beroperasi Mac 2025, Kurangkan Kesesakan HSA - Exco

24/11/2024 05:34 PM

ISKANDAR PUTERI, 24 Nov (Bernama) -- Hospital Pasir Gudang yang dijangka beroperasi secara berperingkat bermula Mac tahun depan mampu mengurangkan kesesakan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru yang kini beroperasi pada tahap maksimum.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Ling Tian Soon berkata hospital berkenaan yang bakal siap dibina sepenuhnya akhir tahun ini juga dapat membantu mengatasi kesesakan di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.

“Hospital Pasir Gudang akan memiliki 304 katil apabila beroperasi nanti dan diharap akan memberi kelegaan kepada HSA dan HSI,” katanya kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini.

Ling berkata Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) sedang dalam proses mengisi perjawatan 1,800 petugas hospital berkenaan setelah menerima kelulusan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Hospital Pasir Gudang di Bandar Seri Alam, Masai dekat sini dibangunkan di kawasan 20.6 hektar dan dilengkapi 304 katil, 14 perkhidmatan pakar, lapan bilik pembedahan, 65 bilik konsultasi rawatan pesakit luar, rumah mayat, farmasi pandu lalu dan lebih 1,000 ruang tempat letak kereta.

Hospital bernilai RM375.7 juta itu terletak 19 kilometer (km) dari HSA dan 12 km dari HSI.

Sementara itu, Ling yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng berkata kerajaan Johor berharap projek pembinaan HSA 2 dapat bermula pada 2026.

Beliau berkata ia susulan kelulusan pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2 (HSA 2) menerusi Projek Kerjasama Awam–Swasta (PPP) yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2025, bulan lepas.

“Kita harap projek pembinaan HSA 2 dapat bermula pada 2026 selepas proses reka bentuk dan perbincangan untuk kerjasama swasta dapat dimuktamadkan Kementerian Kewangan dan Kementerian Kesihatan (KKM), tahun depan.

“Dengan kapasiti 1,500 katil, HSA 2 akan menjadi hospital terbesar di negeri ini sekali gus memberi kelegaan kepada perkhidmatan di HSA," katanya.

HSA yang dibina pada 1938 mempunyai kapasiti 1,203 katil.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan