WILAYAH - UTARA > BERITA

Cadangan Bina Pelabuhan Sanglang Telah Dikemuka Kepada MOT - Sanusi

25/11/2024 12:48 PM

ALOR SETAR, 25 Nov (Bernama) -- Syarikat yang dilantik untuk membangunkan Pelabuhan Sanglang di Kubang Pasu telah mengemukakan cadangan pembangunan prasarana berkenaan kepada Kementerian Pengangkutan (MOT), kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Muhammad Sanusi berkata syarikat dan perunding yang dilantik juga sedang memperhalusi cadangan pembangunan pelabuhan berkenaan termasuk berkaitan lokasi dan aktiviti di kawasan pedalaman serta hiliran yang sesuai dijalankan di kawasan itu.

“Cadangan pembangunan Pelabuhan Sanglang kini sedang ditambah baik, berdasarkan maklum balas yang diterima daripada pihak kementerian,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir (PN-Kota Siputeh) yang ingin tahu mengenai status agenda pembangunan jeti pelabuhan laut dalam Kuala Sanglang.

Beliau berkata Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Kedah (BPEN) telah mengadakan beberapa siri perbincangan dan mesyuarat teknikal bagi memperhalusi kesesuaian lokasi serta bentuk pembangunan projek yang dicadangkan oleh pihak syarikat, dan ia dijangka akan dimuktamadkan akhir tahun ini.

Muhammad Sanusi berkata pembangunan Pelabuhan Sanglang telah disenaraikan sebagai satu projek keutamaan kerajaan negeri yang akan memacu pertumbuhan ekonomi dalam usaha mencapai “The Greater Kedah” menjelang 2050.

Beliau berkata projek itu akan dibangunkan melalui inisiatif pihak swasta dengan pembangunan sebuah pelabuhan kargo jambatan darat yang akan berfungsi sebagai jalan pintas antara Laut Andaman dan Teluk Thailand yang akan memanfaatkan kedua-dua negara, kerana gerbang terminalnya adalah antara Malaysia (Sanglang) dan Thailand (Songkhla).

“Selain itu, pelabuhan ini dicadangkan menjadi pelabuhan pengumpan bagi melengkapi keperluan kapasiti Pelabuhan Pulau Pinang pada masa kini. Pelabuhan Sanglang juga akan berfungsi sebagai hab tenaga baharu berasaskan ammonia dan hidrogen,” katanya. 

Muhammad Sanusi berkata ia juga bertujuan untuk meningkatkan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi di bahagian Pantai Barat daerah Kubang Pasu yang kini didominasi oleh aktiviti pertanian dan perikanan.

“Cadangan pembinaan pelabuhan ini diharap mendapat sokongan serta kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan, kerana manfaatnya yang besar kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan negara," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan