WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SKM, LHDN Bincang Pengecualian Cukai Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi - Ewon

25/11/2024 04:47 PM

TELUK INTAN, 25 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) kini sedang menjalankan perbincangan khusus dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengenai cadangan pengecualian cukai terhadap perbelanjaan Mesyuarat Agung Tahunan yang dikenakan terhadap koperasi di negara ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata cadangan pengecualian cukai tersebut telah dibincangkan semasa Kongres Koperasi Kebangsaan pada Julai lepas.

"Pendirian saya konsisten dengan keperluan koperasi yang saya lihat ketika ini supaya kalau bukan keseluruhan perbelanjaan mesyuarat agung itu, sekurang-kurangnya siling tertentu yang boleh dikecualikan daripada dikenakan cukai.

"Namun, kita perlu mengambil kira keperluan penjanaan hasil (cukai) kepada negara. Oleh itu, saya rasa ia wajar untuk diambil kira keperluan mewujudkan satu siling tertentu. Walaupun jumlah itu saya tidak dapat nyatakan pada masa ini, tetapi mungkin ada jumlah yang boleh ditetapkan nanti," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Sambutan Jubli Emas 50 tahun Ladang Moccis Sdn Bhd yang turut dihadiri Pengerusi Anggota Lembaga Koperasi MOCCIS Berhad Datuk Ahmad Sobri Wan Teh di sini hari ini.

Sementara itu, Ewon berkata pihaknya akan mengadakan sesi libat urus dengan semua Ahli Parlimen berkenaan draf pindaan Akta Koperasi 1993.

Beliau berkata pihaknya mahu penyediaan draf akta berkenaan dilakukan secara lebih spesifik dengan melibatkan kesemua Ahli Parlimen sebelum ia dibentangkan sepenuhnya di Dewan Rakyat nanti.

"Saya tidak hanya mahu membentangkan rancangan (pindaan akta tersebut) kepada Ahli Parlimen di Dewan Rakyat selepas draf itu dibuat.

"Saya mahu Ahli Parlimen menyumbang kepada pembikinan dan penyediaan draf itu sendiri, selain sesi libat urus turut diadakan dengan gerakan koperasi serta pelbagai agensi dan jabatan kerajaan. Saya mahu mereka menjadi sebahagian besar daripada penyediaan pindaan akta koperasi," katanya.

Pada Oktober lepas, media melaporkan Ewon berkata Akta Koperasi 1993 akan dipinda melibatkan 96 peruntukan asal dalam akta tersebut yang akan disusun semula dan ditambah baik sebelum dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat tahun hadapan.

Ewon berkata antara peruntukan utama yang akan dimasukkan ke dalam akta itu adalah berkaitan liberalisasi perniagaan koperasi dan aspek tadbir urus, termasuk kawal selia pendaftaran koperasi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan