KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Sebarang tuduhan serta cubaan memutarbelitkan kejayaan lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke empat negara baru-baru ini, disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkata hakikatnya, Malaysia memperoleh pelbagai pencapaian penting menerusi rangka lawatan ke empat negara itu iaitu Mesir, Arab Saudi, Peru dan Brazil.
Beliau berkata antara pencapaian diperoleh dalam lawatan rasmi tersebut termasuk memacu ekonomi negara, memperkukuh hubungan antarabangsa dan meningkatkan reputasi Malaysia di peringkat global.
“Lawatan ini menunjukkan impak nyata, termasuk pertumbuhan ekonomi melalui pelaburan, pengukuhan perdagangan dan pengiktirafan global terhadap Malaysia.
“Ia juga petunjuk jelas Perdana Menteri bukan sekadar figura simbolik, sebaliknya pemimpin yang memacu negara menuju kemajuan di bawah agenda MADANI,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Malah, Ahmad Farhan berkata Perdana Menteri kini meneruskan misi diplomatik dan pembangunan negara di Korea Selatan, selepas keberhasilan lawatan ke empat negara itu.
Bagaimanapun, beliau berkata berkata di sebalik kejayaan signifikan yang dicapai, terdapat pihak terus iri hati dan menabur tuduhan dangkal kononnya lawatan tersebut tidak membawa manfaat nyata kepada rakyat dan negara.
Dalam hantaran itu, Ahmad Farhan turut menyenaraikan kejayaan perdagangan, pelaburan dan kolaborasi strategik yang diperoleh negara ketika lawatan Anwar ke Mesir, Peru dan Brazil, baru-baru ini.
Beliau berkata dalam lawatan ke Mesir, perdagangan dua hala meningkat 21.4 peratus (RM3 bilion); pelancaran kilang pemasangan Proton di Giza dijangka menjana pendapatan RM570 juta dalam tiga tahun, di samping tambahan pendapatan sebanyak RM20 juta melalui jualan alat ganti bagi menyokong perkhidmatan.
Selain itu, kerjasama pendidikan berjaya dibina antara Universiti Al-Azhar, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi.
Ahmad Farhan berkata semasa di Peru pula, penerokaan ekosistem halal di Amerika Latin diwujudkan melalui Memorandum Persefahaman (MoU) antara Halal Development Corporation (HDC) dan Suruhanjaya Penggalakkan Eksport dan Pelancongan Peru (PROMPERU).
Beliau berkata kolaborasi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Inovasi Pertanian Negara Peru turut memperkukuh sektor pertanian, dengan perdagangan meningkat 49.1 peratus (RM1.58 bilion).
Sementara itu di Brazil, beberapa kejayaan dicatat menerusi pelaburan luar pesisir PETRONAS bernilai USD6 bilion; projek kapal terapung, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) oleh Yinson Holding bernilai USD5 bilion, serta eksplorasi tenaga solar oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Ahmad Farhan berkata Perdana Menteri turut menyerlahkan kepimpinannya di persada antarabangsa semasa Sidang Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) ke-31 di Peru dan Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) di Brazil.
Selain itu, Anwar turut menyuarakan komitmen negara terhadap solidariti global dan keadilan sejagat pada Sidang Kemuncak Negara-Negara Arab dan Islam di Riyadh, apabila Perdana Menteri tegas mempertahankan hak Palestin dan menyeru sekatan senjata terhadap Israel.
“Perdana Menteri turut menuntut reformasi peranan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang seharusnya bersifat lebih inklusif buat negara anggota lain serta menyingkirkan rejim Zionis Israel daripada PBB,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial