WILAYAH - TIMUR > BERITA

Dun Kelantan Sebulat Suara Lulus Belanjawan Negeri 2025

25/11/2024 09:19 PM

KOTA BHARU, 25 Nov (Bernama) -- Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini sebulat suara meluluskan Belanjawan 2025 yang dibentangkan Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Dalam sesi penggulungan perbahasan Enakmen Perbekalan 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Kota Darulnaim, di sini, Mohd Nassuruddin berkata 17 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah berbahas dan mengambil peluang menyatakan cadangan serta teguran melibatkan semua portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan.

"Berdasarkan perkara-perkara yang dibahaskan, terdapat beberapa isu utama yang dibangkitkan oleh ADUN yang mana sangat penting untuk diberikan perhatian dan sudahpun diberi jawapan oleh pihak kerajaan menerusi penggulungan tadi," katanya.

Beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada semua ADUN yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan 2025.

“Kesyukuran terbesar adalah nikmat persaudaraan dan ukhuwah Islamiah yang menjadikan semua sepakat dalam mengangkat martabat agama di negeri ini,” kata Menteri Besar.

Mohd Nassuruddin pada Khamis lepas membentangkan Belanjawan Kelantan 2025 bertemakan "Keberkatan, Kesejahteraan dan Keseimbangan Untuk Kemakmuran Negeri" berjumlah RM1.45 bilion dengan anggaran defisit sebanyak RM93.02 juta.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan