WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Empat Lelaki Ditahan Disyaki Terbabit Sindiket Sebar SMS Palsu Guna BTS

26/11/2024 04:19 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Polis percaya berjaya melumpuhkan sindiket penipuan dalam talian yang aktif menyebarkan mesej melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) palsu menggunakan teknologi Base Transceiver Station (BTS) selepas menahan empat lelaki sekitar Lembah Klang, Selasa lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata kesemuanya yang berusia 39 hingga 46 tahun dipercayai berperanan sebagai penyelia, pembantu penyelia, pemandu dan operator untuk peranti BTS.

Beliau berkata tangkapan dilakukan selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 30 tahun yang menerima SMS daripada sebuah syarikat telekomunikasi mendakwanya mempunyai mata terkumpul untuk menebus barang.

“Selepas mengisi maklumat melalui pautan diberikan, mangsa mendapati wang kira-kira RM1,500 dalam akaun miliknya telah hilang,” katanya pada sidang media di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Pengarah Urusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Datuk Zulkarnain Mohd Yasin.

Ramli berkata modus operandi sindiket itu ialah membawa kenderaan bersama peranti BTS palsu ke lokasi tumpuan orang ramai yang kemudiannya secara automatik menyebarkan SMS palsu kepada nombor telefon individu di kawasan sekitar.

“SMS yang dihantar akan kelihatan seperti SMS tulen yang datangnya daripada penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang sah sehingga mengelirukan mangsa. Mangsa kemudian akan diberikan pautan dan diminta mengisi beberapa butiran penting termasuk maklumat perbankan dan nombor kata laluan sekali guna (OTP),” katanya.

Ramli berkata siasatan mendapati sindiket terbabit mempunyai kaitan dengan sekurang-kurangnya 12 kes yang melibatkan kerugian bernilai RM116,271.

“Dengan penahanan ini, kita percaya dapat menyelamatkan kira-kira 32,000 pengguna harian telekomunikasi seluruh negara daripada ancaman penyebaran SMS palsu yang berpotensi mengakibatkan kerugian wang ringgit,” katanya sambil menambah empat lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997.

Sementara itu, Zulkarnain berkata setakat ini kes itu merupakan kes kedua melibatkan penggunaan kenderaan dalam menyebarkan SMS palsu, dengan kenderaan digunakan dapat menyebarkan SMS palsu dalam radius kira-kira 500 meter hingga satu kilometer menggunakan BTS itu.

Beliau menegaskan MCMC telah mengarahkan penyedia perkhidmatan untuk tidak memasukkan sebarang pautan dalam SMS berkuat kuasa pada 3 Mei lepas.

Kes katanya akan disiasat pihaknya mengikut Seksyen 236 (1)(a) dan Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Peraturan 16(1)(b) Peraturan Peraturan Komunikasi dan Multimedia (PPKM) (Standard Teknik) 2000 serta Peraturan 34(5)(c) PPKM (Standard) 2000.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan