WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Jabatan Imigresen Kenal Pasti Kewujudan Koloni Pendatang Asing Di Flat

27/11/2024 04:15 PM

KUALA LANGAT, 27 Nov (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia telah mengenal pasti beberapa kawasan perumahan dalam negara khususnya di perumahan flat yang perlu pemantauan kerap dalam usaha membanteras kewujudan koloni pendatang asing.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen Malaysia Jafri Embok Taha berkata kawasan-kawasan berkenaan telah pun disenaraikan dan jadual penguatkuasaan akan disusun bagi memastikan operasi yang efisien dapat dijalankan. 

"Kita sentiasa bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara, kerajaan negeri, Pihak Berkuasa Tempatan dan polis bagi membasmi kewujudan koloni-koloni pendatang asing di kawasan-kawasan tertentu. 

"Dalam masa sama, kita sedar kita tak dapat nak selesaikan semua, tetapi kita lakukan tindakan berterusan, kita akan terus jalankan sama ada dalam skala kecil atau sederhana," katanya ketika ditemui selepas merasmikan pembukaan Pejabat Imigresen Kuala Langat di sini.

Semalam Jabatan Imigresen menahan 119 pendatang asing dalam operasi bersepadu bersama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara di Apartmen Pandan Mewah, Ampang Jaya. 

Sementara itu merujuk kepada pembukaan Pejabat Imigresen Kuala Langat hari ini, Jafri berkata ia dijangka dapat mengurangkan kesesakan di pejabat Imigresen seperti Kelana Jaya, Shah Alam dan Petaling Jaya, di samping memberi kemudahan kepada pengusaha ladang dan masyarakat di sekitar daerah Kuala Langat. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan