WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KPKT Tuntut Pembangkang Mohon Maaf Kerana Tuduh Menteri Tidak Jawab Isu

27/11/2024 04:55 PM

KUALA LUMPUR, 27 Nov -- Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menuntut pembangkang untuk meminta maaf kerana menuduh Menterinya Nga Kor Ming tidak menjawab isu-isu rakyat yang dibangkitkan di Dewan Rakyat.

KPKT dalam kenyataan hari ini berkata dakwaan yang dilemparkan pembangkang itu mengelirukan rakyat selain tidak tepat, tidak berasas dan berniat jahat.

“Pelbagai pencapaian KPKT yang dimasukkan dalam pernyataan awal adalah rangkuman jawapan secara menyeluruh kepada isu-isu yang dibangkitkan. 

“Ia mencerminkan tindakan yang diambil oleh KPKT dalam menyelesaikan isu-isu rakyat dan turut menjawab pelbagai persoalan ahli-ahli parlimen secara tidak langsung,” menurut kenyataan itu.

KPKT berkata jawapan secara bertulis adalah lebih fokus dan terperinci untuk menjawab isu-isu tempatan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen.

KPKT sentiasa komited dan berdedikasi dalam meningkatkan taraf hidup rakyat serta memastikan kesejahteraan rakyat.

Semalam, ketika sesi penggulungan peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 (Belanjawan 2025) bagi KPKT di Dewan Rakyat, Nga memaklumkan isu yang dibangkitkan akan dijawab secara bertulis kerana bidang kuasa KPKT meluas, namun masa yang diberi pada sesi itu hanya 25 minit.

Susulan itu, dalam sidang media di Parlimen kemudiannya beberapa Ahli Parlimen pembangkang menyuarakan rasa tidak puas hati dan mendakwa Nga tidak menjawab soalan yang dibangkitkan mereka dan memberi penerangan yang tidak berkaitan.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan