WILAYAH - SABAH > BERITA

Bunuh Kolej Vokasional: Hakim Beri Amaran Keluarga Tertuduh Tidak Ganggu, Ugut Saksi

27/11/2024 07:14 PM

TAWAU, 27 Nov (Bernama) -- Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Duncan Sikodol hari ini memberi amaran kepada keluarga 13 pelajar yang dituduh membunuh seorang pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu pada Mac lepas, supaya tidak mengganggu atau mengugut saksi dalam perbicaraan kes berkenaan.

Duncan berkata beliau ada menerima laporan berkenaan saksi dalam perbicaraan kes berkenaan telah diugut dan menegaskan perbuatan itu suatu kesalahan serius.

“Kalau perkara (laporan) ini diterima mahkamah sekali lagi, saya akan buat arahan tiada seorang pun (keluarga) yang boleh datang ke mahkamah dan tidak boleh datang ke Tawau waktu perbicaraan, tolong beritahu saudara-saudara yang ada di luar,” katanya dalam perbicaraan kes itu hari ini.

Terdahulu sebelum perbicaraan bermula, Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif bangun bagi memohon kepada mahkamah untuk memberi amaran kepada keluarga tertuduh mengenai gangguan itu, berikutan terdapat saksi pendakwaan diganggu serta laporan polis telah dibuat.

Seramai 13 pelajar kolej itu berusia antara 16 hingga 19 tahun didakwa secara bersama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, di Bilik Asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam, 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, dalam perbicaraan kes terbabit, saksi ketiga pendakwaan Mohammad Zul Amree Hamzah Penolong Pegawai Perubatan Hospital Lahad Datu berkata Mohamad Nazmie Aizzat, dipercayai meninggal dunia satu hingga dua jam sebelum disahkan kematiannya pada 7.38 pagi, 22 Mac.

Mohammad Zul Amree berkata beliau telah membuat pemeriksaan terhadap mangsa dan memberikan Cardio-Pulmonary Resuscitation (CPR) antara 15 hingga 20 minit setelah tiba di tempat kejadian.

Beliau berkata dalam masa sama, beliau menggunakan alat Automate External Defibrillator (AED), sebuah alat bagi mengesan dan membantu menstabilkan ritma jantung, bagi membantu mangsa namun mesin itu mengesahkan tiada tanda mangsa masih hidup.

“Dengan pengalaman yang saya ada dalam pengesahan kematian, saya menjangkakan mangsa telah tiada (meninggal dunia) lebih kurang satu hingga dua jam, tetapi saya tetap meneruskan bantuan CPR ini lebih kurang 15 hingga 20 minit dan meletakkan bantuan AED ke atas dada mangsa dan telah disahkan oleh mesin tersebut tiada tanda-tanda kehidupan,” katanya ketika pemeriksaan semula oleh Nur Nisla.

Terdahulu, Mohammad Zul Amree dalam pernyataan saksi berkata rakan setugasnya menerima panggilan MERS 999 pada 7.02 pagi, 22 Mac daripada warden asrama Muhammad Nuhrullah Aminuddin juga saksi pendakwaan kedua, mengenai mangsa tidak sedarkan diri serta tidak bernafas.

“Dia (Muhammad Nuhrullah) juga memberitahu mereka cuba membuat bantuan pernafasan dan selepas itu saya bersama pasukan bergerak ke kolej itu pada 7.05 pagi sebelum tiba pada 7.20 pagi,” katanya yang mengesan terdapat kecederaan pada bibir mangsa.

Menjawab soalan Nur Nisla pada pemeriksaan utama mengenai berapa lama CPR perlu diberikan sebelum pengesahan kematian, Mohammad Zul Amree berkata bantuan tekanan dada dan pernafasan perlu diberikan dalam 30 minit mengikut panduan Basic Life Support (BLS) 2022, sebelum pengesahan itu dilakukan.

Saksi juga bersetuju dengan cadangan peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin kebarangkalian mangsa masih boleh diselamatkan sekiranya dihantar ke hospital dalam jangka masa 1 jam 3 minit.

Selain Nur Nisla, pihak pendakwaan juga diwakili Timbalan Pendakwa Raya Ng Juhn Tao serta Nur Batrisyia Mohd Khusri.

Lapan daripada 13 remaja itu diwakili peguam Datuk Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Chen Wen Jye, manakala lima lagi tertuduh diwakili peguam Mohamed Zairi, Abdul Ghani Zelika, Vivian Thien, Jhassany P Kang dan Kusni Ambotuwo.

Perbicaraan disambung petang ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan