KUALA NERUS, 27 Nov (Bernama) -- Pemain tengah import Terengganu FC (TFC) Nurillo Tukhtasinov sah kekal bersama kelab Liga Super itu hingga Disember tahun depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) Mohd Sabri Abas berkata kontrak pemain kelahiran Uzbekistan yang masih berbaki sebulan itu telah disambung untuk tempoh setahun lagi.
Beliau berkata walaupun menerima beberapa tawaran daripada kelab lain, pemain yang berketinggian 1.72 meter berkenaan memilih untuk kekal berkhidmat bersama skuad hitam putih.
“Nurillo Tukhtasinov semalam telah menandatangani kontrak lanjutan untuk terus kekal bersama kelab sehingga Disember 2025.
“TFC amat berbesar hati dan gembira kerana dapat mengekalkan khidmat pemain yang sangat berdedikasi dan gigih membantu pasukan itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Sabri berkata keputusan pemain berkenaan untuk terus bersama skuad Penyu pastinya menggembirakan peminat dan melegakan pihak pengurusan terutama selepas TFC kehilangan dua pemain import sebelum ini.
Beliau berkata TFC terpaksa melepaskan pemain kelahiran Belanda Matthew Steenvororden dan Marin Pilj yang menamatkan kontrak lebih awal disebabkan masalah peribadi.
“Selain Tukhtasinov, TFC mempunyai lima pemain import lain iaitu Ismaheel Akinade, Argzim Redzovic, Manuel Ott, Nelson Bonilla dan Nnabuike Chijioke,” katanya. -- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial