WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Program #SisBolehKuasaiKewangan Grab Malaysia Tingkatkan Celik Kewangan Wanita

28/11/2024 01:35 PM

KUALA LUMPUR, 28 Nov -- Program #SisBolehKuasaiKewangan anjuran Grab Malaysia baru-baru ini berupaya meningkatkan kecelikan kewangan dalam kalangan rakan Grab wanita, sekali gus membantu golongan berkenaan mengurus kewangan dengan baik.

Program berkenaan menyediakan platform kepada pemandu Grab wanita untuk berkongsi cabaran kewangan, mempelajari strategi mengukuhkan dan menstabilkan kewangan.

Peserta program Mariahton Kiptiah Abd Manap,  53, berkata sebelum ini dia kurang memberi perhatian terhadap pengurusan kewangan, namun selepas mengikuti program tersebut, dia kini lebih yakin dalam merancang perbelanjaan.

“Sebelum ini, saya tidak tegas menyimpan dan wang sering ‘hilang’ begitu sahaja, tapi selepas melihat jadual perbelanjaan seperti yang diajar pada program ini, saya kini dapat menyusun perbelanjaan dengan teratur. 

“Saya juga sedar pentingnya menyusun perbelanjaan mengikut harian, bulanan dan tahunan untuk memastikan simpanan sentiasa ada. Dengan simpanan yang kukuh, saya boleh membuat persediaan untuk kegunaan kecemasan dan juga insurans kerana kesihatan tidak selalunya terjamin,” katanya kepada Bernama.

Mariahton yang bekerja sepenuh masa sebagai pemandu Grab sejak 2017 berkata fleksibiliti yang ditawarkan Grab membolehkannya menyeimbangkan tanggungjawab seorang ibu dan tugas mencari rezeki.

“Grab tidak menghalang saya menjadi seorang ibu, dengan masa yang fleksibel saya dapat bahagikan masa mengurus anak-anak. Contohnya, saya boleh hantar anak ke sekolah, masak dan tetap mencari rezeki. Jadi melalui program ini saya dapat mantapkan lagi ilmu untuk saya atur jadual dengan lebih berkesan,” katanya. 

Ibu kepada empat anak itu juga berkata pendapatan hariannya sekitar RM100 hingga RM300 sebagai pemandu Grab itu digunakan untuk menyelesaikan hutang dan menyara kos pendidikan anak-anaknya hingga tamat pengajian. 

Sementara itu, Nor Ezatul Farrita Shaari, 46, seorang ibu tunggal dengan tiga anak berkata bengkel pengurusan kewangan itu telah mengubah perspektifnya terhadap disiplin kewangan. 

“Bila buat kiraan setahun, saya terkejut sebab saya sebenarnya boleh capai RM100,000, tapi saya tidak nampak hasilnya kerana pengurusan tidak betul. 

“Kelas ini ajar saya untuk disiplinkan diri (mengurus kewangan) mengikut jadual. Sekarang saya dah ada perancangan kewangan untuk setahun dan seterusnya,” katanya. 

Beliau berkata ilmu kewangan yang diperoleh bukan sahaja membantunya mengatur perbelanjaan harian, tetapi juga memberi keyakinan bahawa wanita mampu berdikari tanpa bergantung kepada orang lain. 

“Ini memang pengalaman sangat berharga untuk saya sebagai ibu tunggal sebab tanpa (bergantung dengan) sesiapa pun, kita sebenarnya boleh urus kewangan sendiri dengan baik kalau ada ilmu dan disiplin,” katanya.

Ezatul juga menyifatkan bengkel berkenaan sebagai ruang untuk mengenal potensi diri dan menilai cara bekerja yang lebih bijak.  

“Apa yang menarik, ada aktiviti seperti menjawab soalan dan mencatat perbelanjaan, ia bantu saya kenal siapa diri saya. Daripada situ saya dapat tahu apa kelemahan dan kekuatan saya, dan boleh rancang untuk capai sesuatu yang lebih besar,” katanya.

Dalam pada itu, penceramah dan penasihat kewangan pada bengkel berkenaan, Aisya Rahman berkata #SisBolehKuasaiKewangan berbeza daripada kelas kewangan biasa kerana ia menekankan pengurusan kewangan bukan hanya melibatkan angka tetapi berkait rapat dengan kesihatan mental dan emosi. 

“Ramai yang datang kepada saya bukan untuk membeli insurans atau pelaburan, tetapi mencari penyelesaian kepada masalah hutang mereka. Sebab itulah saya mencipta strategi untuk membantu mereka.

“Berbeza dengan kelas kewangan lain, kami fokus kepada aspek emosi dan psikologi, termasuk membuka ruang kepada peserta berkongsi trauma yang terpendam,” katanya. 

Beliau turut melihat Grab sebagai platform ‘peluang kedua’ yang memberi individu, termasuk pemandu wanita berpeluang memperbaiki kehidupan mereka.

“Bagi saya wanita perlu belajar merancang kewangan dengan baik, mendapatkan bimbingan yang betul dan proses ini memerlukan masa serta kesabaran agar dapat memberi keyakinan dan kekuatan untuk menghadapi cabaran hidup,” katanya. 

Pada 5 Mac lepas, Grab Malaysia melancarkan beberapa inisiatif untuk memperkukuhkan hubungan antara rakan kongsi Grab wanita, dan satu inisiatif utama #SisBoleh adalah #SisBolehKuasaiKewangan, yang diadakan pada 14 Nov.

Program ini ialah satu kelas induk literasi kewangan yang dikendalikan oleh penasihat kewangan Aisya Rahman, dengan fokus kepada pengurusan kewangan untuk wanita pekerja gig merangkumi topik seperti Trauma Kewangan, Aliran Tunai, dan Pengurusan Risiko.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan