WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Negeri Sembilan Perkenal Insentif Galakan Padi

28/11/2024 06:41 PM

SEREMBAN, 28 Nov (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan memperkenalkan insentif galakan padi di bawah peruntukan negeri untuk mengalakkan pesawah menjual hasil padi mereka kepada pusat belian tempatan di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata di bawah skim itu, insentif sebanyak RM100 per tan, dengan maksimum sehingga RM2,000 disediakan kepada pesawah yang layak.

“Kita sedia maklum pesawah kita cenderung untuk menjual padi mereka kepada kilang yang menawarkan harga lebih tinggi, seperti kilang di Melaka menawarkan RM1,700. Situasi ini sememangnya memberi kesan kepada bekalan beras tempatan negeri ini.

“Sebab itu, kita perkenalkan insiatif tersebut dan setakat ini sebanyak 41 pesawah telah menuntut insentif tersebut, dengan peruntukan sejumlah RM29,270.80 disediakan untuk dibayar kepada mereka,” katanya pada sesi penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Beliau berkata langkah ini diharap dapat memberikan galakan kepada pesawah untuk terus menyokong sektor beras tempatan serta menjamin bekalan beras di Negeri Sembilan.

Dalam pada itu Jalaluddin (BN-Pertang) berkata kerajaan negeri juga menghargai peruntukan peningkatan hasil pertanian, termasuk tanaman padi sebanyak RM300 juta kepada petani di seluruh negara seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2025.

Beliau berkata susulan itu, beberapa inisiatif strategik dirangka bagi memanfaatkan peruntukan ini, antaranya inisiatif Pelestarian Sawah Nogori, Pembangunan Zon Kekal Pengeluaran Makanan, Pembangunan Projek Berskala Besar, Transformasi Pertanian Pintar (i-SmarTani), Insentif Penarafan Ladang myGAP, menaik taraf Pusat Pengumpulan dan Jualan Ampangan.

“Tahun ini, jumlah keseluruhan peruntukan sektor pertanian, ternakan dan perikanan yang diterima daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM9.2 juta. Pada tahun depan kerajaan negeri telah membuat unjuran pencapaian berdasarkan peruntukan pertanian agro-makanan berjumlah RM11 juta,” katanya.

Sementara itu, bagi mengurangkan jurang antara kawasan luar bandar dan bandar, kerajaan negeri memperuntukkan RM16.5 juta bagi pembinaan, naik taraf dan selenggara infrastruktur asas merangkumi balai raya, kemudahan sukan, kemudahan rekreasi, dataran usahawan dan sebagainya.

Jalaluddin berkata kerjasama dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi pelaksanaan Projek Ameniti Sosial (PAMS) di kawasan luar bandar dengan peruntukan yang diluluskan sebanyak RM3 juta dan beberapa projek lain.

“Menyedari pentingnya ketersambungan jaringan jalan raya dalam soal pembangunan kawasan ini, beberapa projek besar yang menghubungkan kawasan luar bandar sedang dilaksanakan, antaranya membina Jalan Baharu dari Kampung Gagu-Ulu Beranang dengan kos projek RM163 juta.

“Selain itu, pembinaan jalan dari Seri Menanti, Kuala Pilah ke Ulu Sepri, Rembau (RM106.8 juta), jambatan baharu dan Jalan Tuju dari Kuala Lukut ke Chuah, Port Dickson (RM200 juta),” katanya.

Beliau berkata pembinaan akses jalan raya dan infrastruktur lain di kawasan luar bandar itu menjadikan kawasan tersebut lebih berdaya huni dan membuka lebih banyak peluang aktiviti ekonomi bagi pengukuhan sektor pertanian, perladangan, pelancongan dan pembuatan di luar bandar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan