WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kes Bunuh Pelajar Vokasional: Mungkin Lebih Daripada Seorang Sebabkan Kecederaan - Saksi

28/11/2024 07:48 PM

TAWAU, 28 Nov (Bernama) -- Pakar patologi forensik memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa terdapat kemungkinan lebih daripada seorang individu menyebabkan kecederaan kepada Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu yang ditemukan mati pada Mac lepas.

Saksi kelima pendakwaan Dr Dzureena Abdul Multalib, 39, berkata berdasarkan tahap keparahan kecederaan terutama kesan lebam perubahan warna mungkin berlaku dalam tempoh hampir sama iaitu antara beberapa minit hingga beberapa jam sebelum kematian.

“Ia mungkin dilakukan oleh dua, tiga, empat, 10 atau lebih individu,” katanya ketika menjawab soalan peguam Datuk Ram Singh pada perbicaraan kes bunuh pelajar itu di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol hari ini.

Tiga belas pelajar berusia antara 16 dan 19 tahun didakwa membunuh Mohamad Nazmie Aizzat, 17, di bilik asrama 7 Resak dan 5 Belian di Kolej Vokasional Lahad Datu antara 9 malam pada 21 Mac dan 7.38 pagi pada 22 Mac.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati atau penjara selama 30 hingga 40 tahun, serta sebatan tidak lebih 12 kali jika sabit kesalahan.

Kepada soalan peguam itu berhubung kecederaan pada skrotum dan muka mangsa, Dr Dzureena berkata ia disebabkan oleh trauma tumpul pada bahagian kemaluan serta muka seperti tendangan, tumbukan, atau hentaman dengan objek tumpul, atau gabungan tindakan-tindakan ini.

Peguam Vivian Thien pula bertanya sama ada mangsa boleh diselamatkan jika dibawa menerima rawatan pada 4 pagi iaitu dalam tempoh 3 atau 4 jam selepas mengalami kecederaan.

Saksi itu berkata Mohamad Nazmie Aizzat mungkin boleh diselamatkan jika dibawa ke hospital serta-merta dan menerima rawatan agresif termasuk resusitasi.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif mengenai rawatan agresif itu, Dr Dzureena berkata ia adalah rawatan sokongan yang melibatkan pelbagai kepakaran termasuk dari segi kecemasan, perubatan dan buah pinggang.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla, Ng Juhn Tao dan Nur Batrisyia Mohd Khusri.

Lapan daripada tertuduh diwakili Ram Singh, Kamaruddin Mohmad Chinki dan Chen Wen Jye manakala lima lagi dibela oleh Mohamad Zairi Zainal Abidin, Abdul Ghani Zelika, Vivian, Jhassany P Kang dan Kusni Ambotuwo.

Perbicaraan bersambung petang ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan