WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PKNS Bentang Pelan Pembangunan SA Sentral Hari Ini

28/11/2024 08:52 PM

SHAH ALAM, 28 Nov (Bernama) -- Pelan pembangunan SA Sentral dan kawasan Seksyen 13 yang akan dilaksanakan dalam tempoh tujuh tahun bermula tahun hadapan, melibatkan kawasan seluas 58.6 hektar, bakal menjadikan kawasan itu sebagai hab integrasi moden, dinamik dan berdaya saing di negara ini.

Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM3 bilion itu, akan merangkumi pembinaan pusat konvensyen bertaraf antarabangsa, hotel, pusat beli-belah, pangsapuri servis dan pusat perniagaan peruncitan Aneka Walk.

Pembangunan itu akan dilaksanakan secara berfasa bagi merealisasikan sebuah pusat bandar bersepadu, dilengkapi infrastruktur moden serta kemudahan awam yang mampu memenuhi keperluan masyarakat secara menyeluruh.

“Fokus utama projek ini adalah untuk meningkatkan mobiliti dan ruang awam, termasuk laluan strategik yang menghubungkan dari Stesen LRT Dato Menteri ke SA Sentral, selain menambah baik aksesibiliti serta kualiti kawasan rekreasi.

“Antara komponen utama pembangunan adalah meliputi naik taraf laluan mobiliti dan infrastruktur, penyediaan kemudahan seperti tempat letak kereta, kawasan hijau, serta transformasi landskap kawasan sekitar yang melibatkan galeri seni,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan PKNS itu memaklumkan pelan pembangunan SA Sentral dan Seksyen 13, Shah Alam itu telah dibentangkan Timbalan Pengarah Projek Signature, PKNS Azilah Arasad kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini hari ini dalam usaha untuk memberi gambaran menyeluruh berkenaan perancangan projek itu.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS Datuk Mahmud Abbas dan Timbalan Datuk Bandar Shah Alam Madiyan Baweh.

“SA Sentral dijangka memberikan impak besar kepada komuniti Shah Alam melalui penyediaan ruang rekreasi serta akses mobiliti yang lebih selesa serta efisien, sekali gus membuka peluang ekonomi yang luas.

“Antara manfaat utamanya termasuklah penciptaan lebih 1,500 peluang pekerjaan baharu dan pertumbuhan pesat dalam aktiviti komersial, yang bakal merancakkan pembangunan sosioekonomi di situ,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan pembangunan di Seksyen 13 Shah Alam pula yang berteraskan konsep Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD), akan menumpukan kepada inisiatif berteraskan kesihatan, termasuk pembinaan sebuah hospital yang akan dikendalikan oleh anak syarikat PKNS, serta projek assisted living yang bertujuan menyediakan kemudahan untuk warga emas.

Turut dibangunkan pangsapuri perkhidmatan bagi menampung keperluan penduduk di kawasan sekitar berkenaan.

PKNS turut memaklumkan, pihaknya juga akan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dengan konsep aksesibiliti atau kebolehcapaian akan diterapkan dengan membina sebuah jambatan penghubung di antara tapak dan stesen LRT yang terletak di kawasan Stadium Malawati Shah Alam.

Di samping itu, sebuah taman awam atau ‘Linear Park’ juga akan dibina bagi menghubungkan pembangunan sedia ada di selatan iaitu Menara U dan Menara U2, terus ke jambatan penghubung stesen LRT

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan