WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Mangsa Banjir Buat 'Facebook Live' Minta Bantuan

29/11/2024 05:36 PM

KUALA NERANG, 29 Nov (Bernama) -- Seorang mangsa banjir menggunakan siaran langsung atau live di laman Facebooknya untuk meminta bantuan menyelamat selepas terperangkap susulan air banjir yang meningkat secara mendadak awal pagi semalam.

Nor Amiza Ahmad Sukkri, 42, dari Kampung Semeliang yang terperangkap bersama suami Shaharanizal Che Halim, 52, dan anak lelakinya Muhammad Yasir, 13, memaklumkan keadaannya yang cuba mendapatkan bantuan awal namun terhalang kerana air sudah naik hingga melepasi paras lutut.

"Dalam 1 pagi, saya cuba meredah air untuk ke rumah mak yang berada di kawasan lebih tinggi tetapi arus deras serta paras air tinggi, jadi saya berpatah balik ke rumah. Pada 2 hingga 4 pagi, paras air semakin meningkat melebihi paras lutut jadi kami berdiri di atas tembok rumah.

"Kira-kira 4.30 pagi, saya cuba hubungi pihak polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) tetapi trak atau lori memang tidak boleh masuk ke laluan rumah kerana air sudah terlalu tinggi, jadi saya terpaksa berfikir cara lain untuk minta bantuan," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Nerang, hari ini.

Setelah berpaut pada tembok rumah kira-kira tiga jam, Nor Amiza dan keluarganya diselamatkan oleh individu yang mengikuti siaran langsungnya dengan menaiki bot pada 7 pagi, sebelum mendapat panggilan bahawa pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka.

“Syukur kerana kami selamat, barang-barang di dalam rumah rasanya hanyut semua tetapi tak mengapa kerana paling penting nyawa. Benda lain boleh beli nanti," katanya.

Hasemah Hasim, 57, dari Kampung Mani A berkata dia bersama suaminya yang menghidap strok Ahmad Seghi Lebai Ayob, 63, dan anak lelakinya Muhammad Sofi, 30, berpindah ke PPS Sekolah Kebangsaan Kuala Nerang semalam, selepas air banjir naik hingga paras kepala.

"Air mula naik sejak Rabu tapi esoknya paras air naik hingga kepala. Kami berpindah dengan bantuan orang kampung dengan menaiki bot. Selepas kejadian banjir besar pada 2010, ini baru berlaku banjir lagi dan kalau ikut banjir kali ini kurang sikit teruknya berbanding 2010," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid melawat mangsa banjir di beberapa PPS di sekitar Padang Terap.

"Hujan lebat sejak beberapa hari ini telah menyebabkan limpahan air...di Padang Terap melibatkan dua empangan iaitu Empangan Ahning dan Empangan Muda, jadi memang berlaku banjir dan dianggarkan lebih 30 kampung telah ditenggelami air.

"Kerajaan telah membuka PPS dan jabatan serta agensi berkaitan telah turun membantu mangsa-mangsa yang terlibat…ada kawasan laluannya terputus kerana air tinggi tetapi saya dan beberapa badan bukan kerajaan di daerah ini turun membantu menghantar makanan dan minuman kepada mereka," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan