WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Keda Optimis Bangunkan 'KEDA Food Valley'

01/12/2024 06:23 PM

KUALA NERANG, 1 Dis (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) optimis untuk membangunkan satu lembah makanan atau ‘KEDA Food Valley’ di kawasan operasinya dalam usaha menangani isu keterjaminan makanan serta meningkatkan pengeluaran pertanian dan makanan negara.

Pengurus Besar KEDA Ismasuhaimi Shariff berkata bagi menjayakan hasrat itu, KEDA akan memohon peruntukan dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) sebanyak RM12 juta membabitkan 218 hektar tanah di daerah-daerah dalam operasinya.

"Projek ini memfokuskan kepada pembangunan tanah terbiar di daerah besar seperti Padang Terap, Baling dan Sik, kita akan memberi fokus kepada tanaman dan ternakan yang mempunyai kadar tahap sara diri negara (SSL) yang rendah.

"Fokus lain agensi antaranya ialah melaksanakan penyediaan makanan ternakan ayam yang dilihat berpotensi besar dalam industri ternakan dengan untuk permulaan KEDA akan memohon RM2 juta dalam Rolling Plan 1 (RP1) RMK13," katanya. 

Beliau berkata kepada pemberita selepas melawat ladang ternakan ayam kampung organik di Kampung Pokok Machang di sini hari  ini. 

Ismasuhaimi berkata setakat ini, KEDA telah mengusahakan 675 hektar tanah untuk pelbagai tanaman seperti padi (484 hektar), pisang (70 hektar), nanas (33 hektar), jagung (22 hektar) tembikai (11 hektar), akuakultur (4 hektar) dan ternakan lembu (2.7 hektar) yang memberi pulangan pendapatan kepada pengusaha sebanyak RM10.174 juta.

“Kita akan kembangkan juga makanan-makanan yang premium yang mempunyai nilai tambah yang tinggi kepada petani dan juga ternakan-ternakan premium yang mempunyai harga yang tinggi di pasaran seperti ayam organik ini.

“Insya-Allah dalam tempoh masa akan datang kita akan hasilkan makanan-makanan ayam dan ruminan lain, yang dapat memberi satu ekosistem yang baik kepada keseluruhan ekosistem ternakan di Kedah ini,” katanya. 

Pengusaha ayam kampung organik, Mohd Rosli Hasyim, 56, melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada pihak KEDA kerana menyediakan mesin inkubator telur dan mesin memproses makanan ayam bagi mengembangkan lagi projeknya. 

"Saya mulakan projek ayam organik ini sejak enam tahun lepas, pada mulanya saya hanya ternak 100 ekor ayam, sedikit demi sedikit ia berkembang hingga 2,500 ekor. Sasaran saya ialah 10,000 ekor ayam, namun saya ada kekangan untuk menetaskan telur ayam kerana kekurangan mesin inkubator, saya sangat harap KEDA dapat membantu agar lebih berdaya maju lagi," katanya. 

Mohd Rosli berkata ketika ini dia masih tidak mampu menampung permintaan ayam kampung organik yang sangat tinggi di sekitar daerah itu dan memerlukan sekitar 1,000 ekor anak ayam sebulan.

Dalam perkembangan lain, KEDA turut mengadakan ziarah kasih dan menyantuni mangsa kebakaran di Desa KEDA Bendang Tok Teri, Naka, di sini. 

Mangsa, Zamri Zakaria, 56, dan isteri Siti Fatimah Saad, 60, kini tinggal sehelai sepinggang selepas rumah didiami sejak 20 tahun musnah dalam kebakaran kira-kira 5 petang pada 25 Nov lepas.

Menurut Ismasuhaimi, bagi membantu pasangan itu, KEDA telah menyediakan tempat tinggal sementara berhampiran rumah yang musnah sebelum rumah baharu dibina untuk mereka.

"KEDA dalam proses siasatan dan penilaian bagi pembinaan semula rumah yang musnah hampir 90 peratus dengan melanjutkan permohanan kepada Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS). Projek pembinaan ini dijangka menelan belanja RM79,000.

"Selain itu kita juga sudah menyerahkan bantuan bakul makanan segera bernilai RM100 mengandungi beras, tepung, gula, kopi, minyak masak termasuk wang tunai RM200. Kita juga sedia bantuan keperluan asas rumah bernilai RM1,700 seperti tilam, bantal, selimut, kipas, cerek elektrik, periuk nasi, pinggan mangkuk, cawan, periuk, tong gas, sinki, tikar dan rak," katanya. 

Zamri berkata dia dan isteri sangat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak KEDA kerana menyediakan rumah sementara untuk mereka selain menyumbangkan barangan keperluan, dan berharap rumah baharu dapat dibina dengan bantuan KEDA tidak lama lagi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan