SEPANG, 1 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Timor-Leste Xanana Gusmao tiba di Malaysia hari ini bagi memulakan lawatan rasmi selama tiga yang juga kunjungan sulung beliau ke negara ini sejak menyandang jawatan itu pada 1 Julai tahun lepas.
Pesawat yang membawa Xanana Gusmao bersama delegasinya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 7.16 malam.
Ketibaan beliau disambut oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim serta Ketua Protokol Kementerian Luar Datuk Yubazlan Yusof.
Sejurus tiba, Xanana Gusmao memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (Istiadat) diketuai oleh Kapten Mohd Masrur Hidayat Masri.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar (Wisma Putra) memaklumkan bahawa Xanana Gusmao akan disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam majlis sambutan rasmi, diikuti dengan mesyuarat dua hala.
"Kedua-dua pemimpin dijangka menilai kemajuan hubungan dua hala serta potensi kerjasama antara kedua-dua negara pada masa hadapan. Mereka juga akan membincangkan isu-isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.
"Kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, industri halal, pendidikan, pembangunan kapasiti, dan kesalinghubungan adalah antara perkara yang bakal dibincangkan oleh kedua-dua pemimpin semasa pertemuan itu." menurut Wisma Putra.
Selain itu, kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pemeteraian Perjanjian Konsesi Tanah berkenaan pemberian sebidang tanah oleh Kerajaan Timor-Leste untuk pembangunan Kompleks Canseri Kedutaan Besar Malaysia di Dili.
Kedua-dua Perdana Menteri juga akan menyaksikan Pertukaran Nota bagi Pengaturan Pengecualian Visa, yang akan memberikan kemudahan pengecualian visa kepada rakyat kedua-dua negara.
Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan menjadi hos Majlis Jamuan Rasmi bagi meraikan Xanana Gusmao dan delegasinya di Seri Perdana, Putrajaya.
Xanana Gusmao juga dijadual menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Semasa lawatan ini, beliau akan menyampaikan syarahan umum bertajuk ‘International Diplomacy in an Increasingly Fragmented and Fragile World’ di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR).
“Lawatan ini dilihat dapat mempertingkatkan usaha berterusan dalam memperkukuh hubungan baik dan mesra yang dinikmati selama ini serta membuktikan sokongan Malaysia dalam merealisasikan hasrat Timor-Leste untuk menjadi Negara Anggota Penuh ASEAN," menurut Wisma Putra.
Tahun lepas, nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dan Timor-Leste direkodkan sebanyak RM196.7 juta dengan jumlah eksport Malaysia ke Timor-Leste bernilai RM195 juta manakala import produk daripada Timor-Leste berjumlah RM1.7 juta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial