BALIK PULAU, 2 Dis (Bernama) -- Polis berjaya menyelamatkan seorang wanita warga Nigeria yang disyaki dieksploitasi oleh satu sindiket pemerdagangan manusia, dijadikan sebagai pekerja seks, dua hari lepas.
Ketua Polis Daerah Barat Daya ACP Sazalee Adam berkata wanita berusia 25 tahun itu memasuki negara pada 1 Okt lepas sebelum dibawa ke Pulau Pinang oleh seorang ejen wanita warga negara sama yang menawarkan pekerjaan sebagai pembantu rumah.
“Bagaimanapun sebaik tiba di negeri ini wanita itu dipaksa menjadi pekerja seks di pusat hiburan oleh sindiket didalangi dua lelaki, seorang wanita Nigeria dan seorang wanita warga tempatan.
“Pada 28 Nov, wanita itu melarikan diri dari sebuah rumah di Bayan Lepas ke kedutaan Nigeria di Kuala Lumpur sebelum membuat laporan polis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya di sini, hari ini.
Beliau berkata bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Barat Daya telah menyerbu ke sebuah rumah di Bayan Lepas pada kira-kira pukul 10 malam Isnin lepas dan menahan empat ahli sindiket berkenaan.
Sazalee berkata siasatan awal mendapati tiga suspek warga Nigeria berumur 24 hingga 37 tahun itu telah memasuki negara ini Januari lepas menggunakan pas pelancong, dan ketiga-tiga mereka kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12 Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Sementara itu, dalam kes berasingan beliau berkata seorang lelaki tidak serik meskipun sudah enam kali ditangkap sebelum ini kerana terlibat dengan kegiatan memproses dan menjual air ketum, ditahan buat kali ketujuh atas kesalahan sama.
Sazalee berkata suspek berumur 58 tahun itu ditahan selepas polis menyerbu ke sebuah rumah di Kuala Jalan Bahru, Mukim D, di sini dan menemukan 11,400 liter cecair disyaki air disyaki air ketum, 27 kilogram (kg) daun ketum serta peralatan memasak bahan terlarang itu.
“Siasatan turut mendapati air ketum ini dijual pada harga RM10 sebungkus. Suspek juga menjalankan perniagaan buah bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya dan menambah suspek mempunyai 10 rekod lampau.
Beliau berkata suspek direman hingga Khamis ini untuk siasatan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial