WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Situasi Banjir Di Seluruh Negara Tunjuk Tanda Pemulihan - Ahmad Zahid

02/12/2024 04:25 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Situasi banjir di seluruh negara mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan, dengan jumlah mangsa yang dipindahkan di pusat pemindahan sementara (PPS) mencatatkan trend penurunan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata setakat pukul 1 tengah hari tadi, jumlah PPS yang masih beroperasi berkurang sebanyak 13.69 peratus kepada 561 PPS, manakala jumlah keluarga terjejas menurun sebanyak 8.7 peratus kepada 37,759 keluarga.

Beliau berkata dua negeri yang paling teruk terjejas iaitu Kelantan dan Terengganu, turut merekodkan trend yang sama, dengan jumlah PPS yang masih beroperasi di Kelantan menurun sebanyak 11.07 peratus kepada 217 PPS, manakala jumlah keluarga yang terjejas juga berkurang sebanyak 9.57 peratus kepada 24,238 keluarga.

"Situasi di Terengganu juga semakin baik, dengan jumlah PPS menurun sebanyak 16.25 peratus kepada 237 PPS dan jumlah keluarga terjejas berkurang sebanyak 6.14 peratus kepada 9,990 keluarga," katanya dalam hantaran di media sosial.

Pada masa yang sama, Ahmad Zahid mengingatkan bahawa walaupun keadaan ini membawa sedikit kelegaan, namun semua pihak yang terkesan harus terus berhati-hati dan mengutamakan keselamatan.

"Janganlah bermain atau mendedahkan diri kepada air banjir, walaupun paras air semakin surut.  Air banjir sering tercemar dan boleh mendatangkan risiko kepada kesihatan seperti jangkitan kulit, penyakit bawaan air atau gigitan haiwan berbahaya," katanya.

Beliau juga menasihatkan mereka yang terjejas supaya menjaga kebersihan diri dan kawasan tempat tinggal, terutama selepas kembali ke rumah masing-masing daripada PPS, serta terus mematuhi arahan pihak berkuasa.

Bagi yang masih berada di PPS, beliau menasihati mereka agar terus bersabar dan memberikan kerjasama sebaiknya kepada pasukan penyelamat serta petugas yang membantu, sambil turut mendoakan agar keadaan musibah ini akan terus bertambah baik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan