WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malaysia Sasar Kedudukan Ke-30 Dalam Indeks Inovasi Global 2025

02/12/2024 06:03 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Malaysia menyasarkan untuk mencapai kedudukan ke-30 dalam Indeks Inovasi Global (GII) menjelang 2025, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata selepas mengekalkan kedudukan di tempat ke-36 selama dua tahun berturut-turut, Malaysia kini telah mara ke tangga ke-33 dalam kalangan 133 negara dalam 2024 ranking GII.

Timbalan Perdana Menteri berkata komitmen Malaysia terhadap inovasi melangkaui infrastruktur kerana menurut Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), ekonomi digital menyumbang 23.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada 2023 dan berada di landasan betul untuk melepasi unjuran sumbangan 25 peratus menjelang 2025.

“Dengan pelaburan digital melebihi RM70 bilion pada 2023, pertumbuhan ini menekankan kedudukan Malaysia sebagai ekonomi yang dipacu teknologi,” katanya semasa berucap di majlis pelancaran Sidang Kemuncak Global I-Nation 2024 di sini hari ini.

Acara itu dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama Malaysian Research Accelerator for Technology & Innovation (MRANTI). Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata tenaga boleh diperbaharui merupakan satu lagi asas penting dalam perjalanan inovasi Malaysia.

Melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), ia menekankan bahawa negara telah menetapkan sasaran progresif untuk meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui kepada 40 peratus menjelang 2035 dan 70 peratus menjelang 2050.

Selain itu beliau berkata bahagian tenaga yang boleh diperbaharui dalam jumlah bekalan tenaga primer diunjurkan berkembang daripada angka semasa empat peratus kepada 23 peratus menjelang 2050.

“Inisiatif ini dijangka menyumbang RM220 bilion kepada KDNK menjelang 2050 dan mewujudkan 310,000 pekerjaan baharu, yang jelas menunjukkan bagaimana kemampanan boleh memacu kemakmuran ekonomi,” katanya.

Fadillah berkata ketika Malaysia bersedia untuk memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 2025, kerajaan komited untuk memajukan agenda rantau ini melalui kepimpinan dalam teknologi, inovasi dan keselamatan tenaga.

“Fokus kita termasuk meningkatkan kerjasama serantau untuk menangani cabaran dan peluang bersama, terutamanya dalam mencapai sasaran ASEAN iaitu 23 peratus tenaga boleh diperbaharui dalam gabungan tenaga rantau ini menjelang 2025.

“Inisiatif seperti Grid Kuasa ASEAN, menggalakkan perdagangan elektrik rentas sempadan dan integrasi tenaga boleh diperbaharui, menunjukkan komitmen Malaysia terhadap kemampanan serantau,” katanya.

Sementara itu mengenai Sidang Kemuncak Global I-Nation 2024, Fadillah berkata ia adalah manifestasi aspirasi bersama Malaysia untuk masa depan yang dibina berdasarkan inovasi, kemampanan dan keterangkuman untuk masyarakat tempatan, serantau dan global.

Beliau berkata sidang kemuncak itu menunjukkan aspirasi Malaysia untuk meningkatkan pengaruhnya dalam ASEAN dan global, menyelaraskan usaha dengan rangka kerja antarabangsa seperti Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) PBB dan agenda ASEAN untuk 2025.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan