KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Kementerian Pertahanan sentiasa memberikan penghormatan kepada pengguna akhir (end user) dengan mengutamakan keperluan mereka dalam mana-mana proses perolehan aset negara termasuk yang dilaksanakan menerusi kerajaan dengan kerajaan (G2G).
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata pandangan dan penilaian teknikal cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang meliputi darat, tentera dan laut sentiasa dilibatkan dalam pembelian aset dengan berpandukan Kertas Putih Pertahanan.
“Model di Kementerian Pertahanan, siapa pun jadi kerajaan perkara paling asas adalah kehendak daripada pengguna itu sendiri, bukan sahaja pengguna itu dilibatkan di peringkat awal, tapi penilaian aset setelah melalui proses ini juga sebelum kita punya pemilikan. Kalau pengguna tidak menerima aset itu, aset itu tidak boleh diterima.
“Ini antara perkara teras, kita tidak boleh menggambarkan pengguna kita cenderung kepada mana-mana pembuatan atau syarikat, itu akan berikan satu kesan buruk juga kepada pengguna kita sebab itu pengguna biasanya dia menyediakan spesifikasi (aset) itu,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu dalam sesi perbahasan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) berkata berdasarkan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), salah laku kes pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) yang melibatkan kerugian berbilion ringgit adalah apabila kerajaan tidak mengikut spesifikasi yang diminta oleh pengguna akhir iaitu ATM, sebaliknya kerajaan lebih fokus untuk mendengar keluhan daripada kontraktor atau concessionaire.
“Persoalan saya mudah, bolehkah kerajaan memberikan jaminan bertulis melalui Panglima ATM, Panglima Tentera Udara, Panglima Tentera Darat melalui tanda tangan mereka untuk mengesahkan bahawa concessionaire yang berjumlah berbilion ringgit adalah melalui permintaan dan permohonan mereka, dan spesifikasi itu mengikut end user kerana mereka merupakan end usernya bukan concessionaire.
“Kalau komitmen ini dapat diberikan saya rasa syak wasangka di luar dan di dalam dewan ini dapat diuruskan dengan lebih baik. Tetapi selagi kita tidak berikan ketetapan bahawa ini adalah untuk pertahanan, kedaulatan negara untuk end user anggota tentera kita, selagi itulah kemusykilan ini akan berterusan di luar sana,” katanya.
Sementara itu, Adly berkata seramai 31,000 veteran ATM tidak berpencen menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) setakat ini.
Beliau berkata BSH bermula tahun hadapan akan melibatkan peruntukan RM174 juta berikutan peningkatan bantuan daripada RM300 kepada RM500, seperti diumum oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Okt lepas.
“Sistem pertahanan negara kita amat memerlukan veteran yang tidak berpencen, jadi tanggungjawab kita di peringkat kementerian adalah untuk pastikan bahawa mereka yang tidak berpencen ini diberikan keutamaan (menerima BSH),” katanya.
Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan berjumlah RM21,128,702,300 yang diperuntukkan kepada Kementerian Pertahanan dalam Belanjawan 2025 dengan lebih suara menyokong selepas dibahas 13 Ahli Parlimen.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial