KOTA BHARU, 2 Dis (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan menggerakkan pasukan rondaan pesisir pantai bagi melaksanakan Program Pencegahan Carilamat setiap hari pada musim Monsun Timur Laut.
Pengarah Maritim Kelantan Kepten Erwan Shah Soahdi berkata usaha itu bagi memastikan keselamatan komuniti maritim dalam menghadapi musim berkenaan.
Beliau berkata penugasan rondaan pesisir pantai juga bertujuan menangani kejadian tidak diingini sepanjang Monsun Timur Laut.
"APMM turut bersiap siaga sekiranya terdapat keperluan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi melaksanakan bantuan banjir," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Erwan Shah sehubungan itu mengingatkan semua komuniti maritim seperti nelayan, komuniti perkapalan, industri cari gali minyak dan penggemar aktiviti rekreasi laut atau di pesisir pantai supaya meningkatkan tahap waspada serta mengikuti ramalan cuaca dikeluarkan Jabatan Meteorologi.
“APMM mempunyai empat pasukan dengan setiap satu mempunyai 10 petugas untuk memantau aktiviti melibatkan komuniti maritim.
"Kita turut ke resort-resort di tepi pantai bagi menasihati pengunjung agar tidak melakukan aktiviti seperti mandi-manda di pantai," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial