KUANTAN, 3 Dis (Bernama) -- Pahang mengakui berhadapan kekurangan bekalan buah kelapa sejak Ogos lepas dan usaha menyelesaikan masalah itu sedang ditangani segera oleh kerajaan negeri, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) diberitahu hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang Sim Chon Siang berkata berikutan kekurangan bekalan itu, kerajaan Persekutuan perlu mengimport kelapa dari Indonesia mengakibatkan berlaku sedikit peningkatan harga di pasaran domestik.
“(Harga) sebiji kelapa sekarang dinaikkan RM3.50 sebab perlu import dari Indonesia. Kita di Malaysia tidak (mempunyai bekalan yang) cukup, begitu juga Thailand dan terpaksa import dari Indonesia.
”Sebab itu, dalam masa empat bulan ini, kita (terpaksa) naikkan (harga) santan pekat RM16 kerana untuk (dapatkan) satu kotak santan pekat, mungkin memerlukan empat biji kelapa dan kosnya sudah RM14. Disebabkan itu, berlakunya kenaikan harga,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Teruntum itu.
Beliau berkata demikian ketika mencelah perbahasan Belanjawan Pahang 2024 oleh Zuridan Mohd Daud (PAS-Damak) pada sidang DUN di Wisma Sri Pahang di sini.
Zuridan sebelum itu berkata beliau menerima aduan kenaikan harga buah kelapa daripada pengusaha kelapa dan santan yang dipercayai dimanipulasi oleh kartel sehingga berlakunya kenaikan harga sebiji buah kelapa dan santan pekat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial