WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KDNK Sarawak Diunjur Lebih 5.0 Peratus Pada 2025 - Abang Johari

03/12/2024 08:38 PM

KUCHING, 3 Dis (Bernama) -- Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak yang dipacu oleh pelaburan strategik dalam infrastruktur dan teknologi hijau diunjurkan melepasi 5.0 peratus pada 2025, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata Belanjawan Sarawak untuk 2025 dirangka penuh teliti dengan peruntukan yang tidak pernah berlaku sebelum ini iaitu sebanyak RM15.8 bilion untuk memastikan pertumbuhan ekonomi mampan sambil menumpukan sektor utama yang memacu kemakmuran Sarawak.

“Bagi menunjukkan komitmen kerajaan terhadap pertumbuhan yang seimbang dan meningkatkan taraf hidup komuniti rentan, pembangunan infrastruktur kekal menjadi keutamaan di bawah integrasi ekonomi bandar dan luar bandar.

“Kami telah memperuntukkan RM10.9 bilion untuk perbelanjaan pembangunan. Projek utama termasuk jalan raya, jambatan, pelabuhan, dan sistem bekalan air serta elektrik yang dipertingkatkan,” katanya dalam ucapannya semasa Persidangan Belanjawan Sarawak 2025 di sini hari ini.

Sementara itu, Abang Johari berkata pertumbuhan KDNK Sarawak diunjurkan antara 5.0 dan 6.0 peratus menjelang akhir tahun.

Sektor utama seperti perkhidmatan, perlombongan dan pertanian telah menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan, didorong pelaburan strategik dan dasar inovatif.

“Berpandukan PCDS 2030 (Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030), pelaburan kami dalam projek pemangkin seperti Batang Ai Floating Solar Farm 50MW dan inisiatif hidrogen telah meletakkan Sarawak sebagai peneraju tenaga boleh diperbaharui dan transformasi digital,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan