WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kes Bunuh Pelajar Vokasional: Saksi Cuba Tenangkan Tertuduh Kedua

04/12/2024 12:31 AM

TAWAU, 3 Dis (Bernama) -- Seorang pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dia bersama pelajar lain cuba menenangkan tertuduh kedua yang sedang melepaskan kemarahannya terhadap Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan di bilik asrama pada malam 21 Mac.

Ahmad Jafnianiq Johari, 19, yang juga saksi pendakwaan ke-15 berkata dia juga melihat dan cuba menenangkan mangsa, yang ketika itu tersandar di almari dalam keadaan tidak berbaju, merayu memohon maaf kepada tertuduh kedua.

Beliau berkata pada malam itu, mangsa cuba mendapatkan bantuannya dan pelajar lain.

“Kami cuba meleraikan mereka serta menenangkan tertuduh kedua dan mangsa," kata pelajar itu ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ng Juhn Tao di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol.

Sejumlah 13 pelajar berusia lingkungan 16 hingga 19 tahun didakwa membunuh Mohamad Nazmie Aizzat, 17, di Bilik Asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam 21 Mac lepas hingga 7.38 pagi 22 Mac lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Ahmad Jafnianiq berkata beliau juga ada melihat bahagian depan badan mangsa lebam manakala bibirnya berdarah namun tidak tahu punca sebenar kecederaan itu.

Beliau kemudian mengambil kit perubatan dari bilik warden asrama sebelum menyerahkannya kepada tertuduh kedua di luar tandas Exco Belian di mana mangsa berada namun telah dihalang daripada memasukinya oleh tertuduh.

Saksi pendakwaan ke-14 iaitu Muhamad Rezki @ Rekie Zainal, 20, pula berkata ketika kejadian, dia menggunakan kakinya untuk menghalang mangsa daripada terus dipukul oleh tertuduh pertama, kesembilan, ke-11 dan beberapa pelajar lain pada kira-kira 12 tengah malam.

"Mangsa terbaring selepas ditumbuk, kemudian mangsa bangun semula dan dipukul banyak kali," katanya.

Saksi juga  bersetuju dengan cadangan peguam Mohamad Zairi Zainal Abidin ketika disoal balas bahawa timbul rasa takut dipukul selepas tertuduh kedua menghalangnya berjumpa warden asrama bagi melaporkan kejadian itu.

Semasa pemeriksaan semula oleh Juhn Tao, dia memaklumkan tertuduh pertama telah melarangnya membuat aduan kepada warden asrama mengenai kejadian di bilik asrama 5 Belian.

Selain Juhn Tao, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif dan Batrisyia Mohd Khusri.

Lapan daripada 13 remaja itu diwakili peguam Datuk Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Chen Wen Jye manakala lima lagi diwakili peguam Mohamad Zairi, Abdul Ghani Zelika, Vivian Thien, Jhesseny P. Kang dan Kusni Ambotuwo.

Perbicaraan bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan