WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MIDF Amanah Jangka Ringgit Diniagakan Tinggi Pada RM4.30 Pada Akhir Tahun

04/12/2024 03:49 PM

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF IB) menjangka ringgit kembali mengukuh dan mengakhiri tahun ini pada RM4.30 berbanding RM4.59 pada akhir 2023.

Menurut MIDF IB dalam satu laporan, unjuran ini didorong terutamanya oleh jangkaan pelonggaran dasar seterusnya oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) dan pengurangan perbezaan kadar faedah yang akan memberi kelebihan kepada mata wang pasaran sedang pesat membangun, termasuk ringgit.

“Asas ekonomi Malaysia yang kukuh berdasarkan lebihan berterusan dalam imbangan dagangan dan akaun semasa turut menyokong jangkaan pengukuhan ini.

“Sehubungan itu, kami menjangka Indeks Ringgit Wajaran Dagangan MIDF (TWRI MIDF) akan meningkat kepada sekitar 93.0 pada akhir tahun, mencerminkan potensi kenaikan berbanding mata wang lain,” katanya.

Bagaimanapun, katanya beberapa risiko yang boleh membawa kepada pengukuhan dolar AS yang berpanjangan termasuklah pendirian Fed yang lebih agresif, kemungkinan disebabkan inflasi yang kembali meningkat dan daya tahan ekonomi AS yang berterusan, yang akan mengekang peningkatan ringgit.

“Selain itu, permintaan terhadap dolar yang meningkat mungkin disebabkan aliran pelaburan kepada aset selamat yang didorong oleh kebimbangan mengenai prospek pertumbuhan ekonomi global, yang mungkin terjejas oleh ketegangan geopolitik dan perdagangan yang meningkat serta potensi pertumbuhan negara-negara utama yang lebih rendah daripada jangkaan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan