KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2024 yang antara lain memperkenalkan punca kuasa untuk menangani isu penjualan tiket bas secara haram atau tidak sah di Sabah, Sarawak dan Labuan.
RUU itu diluluskan dengan lebih banyak suara bersetuju selepas dibahas oleh sembilan Ahli Parlimen dari blok kerajaan dan pembangkang.
Terdahulu, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah ketika membentangkan RUU itu untuk bacaan kali kedua berkata pindaan RUU berkenaan antaranya meliputi Fasal 2 yang bertujuan untuk memperkenalkan seksyen baharu 41A yang memperuntukkan punca kuasa dan peraturan perundangan di bawah Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334).
“Pindaan ini bagi mengawal selia dan menguatkuasakan peraturan untuk menangani isu penjualan tiket atau penyediaan perkhidmatan kenderaan perkhidmatan awam yang tidak sah atau tidak berlesen di wilayah terbabit.
“Ia turut merangkumi pemandu perkhidmatan e-hailing yang menawarkan perkhidmatan yang tidak sah tanpa menggunakan aplikasi atau platform yang disediakan oleh operator perkhidmatan, terutamanya di terminal pengangkutan awam termasuk lapangan terbang dan jeti penumpang,” katanya.
Hasbi berkata pindaan itu menetapkan hukuman bagi mana-mana individu yang disabitkan kesalahan di bawah seksyen baharu berkenaan boleh didenda maksimum RM50,000 atau dihukum penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Peruntukan ini bertujuan memastikan pematuhan terhadap undang-undang dan melindungi kepentingan pengguna daripada aktiviti perkhidmatan yang tidak sah,” katanya.
Beliau berkata ketika ini pihak tidak bertanggungjawab yang tidak mempunyai perkhidmatan yang dilesenkan dan sah di bawah Akta 334 akan memujuk dan mendesak orang ramai untuk menggunakan kenderaan mereka yang tidak berlesen.
Katanya bagi tempoh 2021 hingga 2024, sebanyak 515 kes telah didaftarkan dengan jumlah denda keseluruhan sebanyak RM2,350,900 atas kesalahan menawarkan perkhidmatan tidak sah di bawah Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).
Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial