WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malaysia,China Setuju Perkukuh Kerjasama Dalam Bidang Pertanian, Keterjaminan Makanan - KPKM

05/12/2024 09:13 PM

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Malaysia dan China bersetuju memperkukuh kerjasama dalam bidang pertanian dan keterjaminan makanan, sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara. 

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menerusi kenyataan hari ini memaklumkan menteri berkenaan Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata pemeteraian protokol eksport durian segar, disusuli penghantaran pertama pada Ogos lepas melambangkan kerjasama erat kedua-dua negara dalam sektor pertanian.

Menurut kenyataan itu, Mohamad menyifatkan ia adalah kejayaan bagi Malaysia dalam memperkukuh perdagangan pertanian di pasaran antarabangsa.

“Menyentuh mengenai kerjasama di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) Dalam Kerjasama Pertanian yang ditandatangani kedua-dua negara pada 2016, Malaysia menyuarakan kesediaan menghoskan mesyuarat kedua Kumpulan Kerja (JWG) pada 2025 seterusnya menjemput China ke Malaysia untuk membincangkan pelbagai isu berkaitan tanaman, penternakan, perikanan dan teknologi pertanian,” menurut kenyataan itu. 

Terdahulu, Mohamad menerima kunjungan hormat Ahli Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat China dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Hal Ehwal Luar Bandar Kongres Republik Rakyat China, Fan Xiaojun, di Menara Pertubuhan Peladang, dekat sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPKM Datuk Seri Isham Ishak, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Datuk Azah Hanim Ahmad, Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Datuk Nor Sam Alwi, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Dr Akma Ngah Hamid serta pegawai-pegawai kanan kementerian.

Dalam kenyataan sama, Isham turut mengalu-alukan pelaburan dan penglibatan China dalam lima bidang hala tuju kementerian itu, iaitu usaha meningkatkan pengeluaran dalam bidang akuakultur, penternakan lembu pedaging dan tenusu, jagung bijian serta penglibatan generasi muda dan pemerkasaan institusi latihan.

Selain itu, kerjasama teknikal berkaitan bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam sektor pertanian antara institusi penyelidikan di Malaysia dan China sebagai inisiatif memperkukuh keterjaminan makanan.

Fan Xiaojun dalam maklum balasnya berkata beliau menyambut baik cadangan Malaysia dan menyatakan komitmen China bagi mengukuhkan kerjasama dalam sektor pertanian dengan negara ini, selain memaklumkan akan menyampaikan perkara yang dibincangkan kepada agensi berkaitan di China.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan