KANGAR, 11 Dis (Bernama) -- Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis hari ini diberitahu negeri itu telah mencapai sifar miskin tegar bagi tempoh empat bulan berturut-turut sejak September lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Kesihatan dan Keusahawanan negeri Datin Marzita Mansor berkata Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) antara usaha yang dilihat membantu Perlis untuk menambah pendapatan rakyat sekali gus menoktahkan kemiskinan.
“Program IPR ini dapat menambah pendapatan rakyat menerusi inisiatif pertanian, perniagaan makanan dan operator perkhidmatan. Hingga Okt lepas, sebanyak 135 penduduk negeri ini telah menerima bantuan IPR.
“Daripada jumlah tersebut, 58 orang terlibat dengan IPR Usahawan Tani (INTAN), lapan orang Usahawan Makanan (INSAN) dan 69 orang IPR Inisiatif Basmi Miskin Tegar (BMT),” katanya menjawab soalan Fakhrul Anwar Ismail (Bintong-PN) pada persidangan DUN di sini hari ini.
Fakhrul Anwar ingin tahu statistik terkini berkaitan golongan rakyat berkategori miskin dan miskin tegar di Perlis dan nilai garis kemiskinan terkini yang diguna pakai serta ciri-ciri dipertimbangkan kerajaan negeri dalam menentukan pengkelasan itu.
Marzita berkata Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Perlis (PPPN Perlis) mengguna pakai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2022 yang dikeluarkan Kementerian Ekonomi sebagai rujukan aras pengukuran status kemiskinan semasa.
Beliau berkata nilai yang diguna pakai untuk negeri Perlis ialah RM2,199 bagi kategori miskin dan RM1,145 bagi kategori miskin tegar.
IPR dilancarkan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli pada Feb 2023 bertujuan membantu golongan miskin tegar dan miskin serta B40 menjana pendapatan mampan.
Inisiatif itu membabitkan kerjasama antara kerajaan, rakyat dan rakan strategik selaras pendekatan keseluruhan negara seperti digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) serta prinsip Ihsan di bawah Kerangka Dasar MADANI.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial