KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Pengeluaran getah asli Malaysia meningkat 20.6 peratus pada Oktober 2024 kepada 38,400 tan berbanding 31,847 tan pada September 2024, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Kata jabatan itu, terbitan Perangkaan Getah Bulanan Malaysia untuk Oktober 2024 menunjukkan perbandingan tahun ke tahun iaitu pengeluaran getah asli meningkat 16.6 peratus berbanding 32,944 tan pada Oktober 2023.
"Pengeluaran getah asli Malaysia pada Oktober 2024 disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil (88.6 peratus) berbanding sektor estet sebanyak 11.4 peratus," kata DOSM.
Menurutnya, jumlah stok simpanan getah asli pada Oktober 2024 meningkat 1.9 peratus kepada 134,844 tan berbanding 132,391 tan pada September 2024.
Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 88.1 peratus diikuti kilang pengguna getah (11.8 peratus) dan estet getah (0.1 peratus).
Sementara itu, eksport getah asli Malaysia berjumlah 48,151 tan pada Oktober 2024, meningkat 20.6 peratus berbanding 39,930 tan pada September 2024.
China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu berjumlah 43.2 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Oktober 2024 diikuti Jerman (9.8 peratus), Emiriah Arab Bersatu (9.2 peratus), Amerika Syarikat (4.8 peratus) dan Portugal sebanyak 2.8 peratus.
Menurut DOSM, prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub dan benang getah.
Katanya, produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM1.5 billion pada Oktober 2024, meningkat 21.8 peratus berbanding RM1.2 bilion pada September 2024.
DOSM turut berkongsi analisis perbandingan harga purata bulanan yang menunjukkan lateks pekat merekodkan peningkatan iaitu 9.8 peratus mencecah 746.36 sen sekilogram pada Oktober 2024 berbanding 679.65 sen sekilogram pada September 2024 manakala sekerap meningkat sebanyak 7.4 peratus kepada 738.01 sen sekilogram pada Oktober 2024 berbanding 687.01 sen sekilogram pada September 2024.
Kata DOSM, trend harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (GMM) pula meningkat di antara 6.2 peratus dan 9.7 peratus.
The World Bank Commodity Price Data melaporkan harga bagi getah jenis TSR 20 (Technically Specified Rubber) meningkat 5.4 peratus (daripada US$1.91 sekilogram kepada US$2.01 sekilogram) dan SGP/MYS (Singapura/Malaysia) menurun 0.7 peratus (daripada US$2.65 sekilogram kepada US$2.63 sekilogram).
Menurut Malaysia Rubber Board Digest keluaran Oktober 2024, pasaran getah Kuala Lumpur dilaporkan bercampur-campur dalam tempoh penilaian semula dengan harga GMM 20, bergerak dalam julat harga yang rapat dan menurun sedikit menjelang akhir bulan.
Sentimen pasaran juga disokong oleh kekurangan bekalan getah asli dunia berikutan ramalan cuaca buruk di negara pengeluar utama getah asli dan jangkaan permintaan getah asli yang lebih baik dilaporkan oleh Persatuan Pengeluar Getah Asli Negara (ANRPC) dan berdasarkan laporan terkini Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), menurut laporan tersebut.
Dalam pada itu, DOSM juga melancarkan OpenDOSM NextGen sebagai medium yang menyediakan katalog data dan visualisasi bagi memudahkan pengguna menganalisis selain ia boleh diakses melalui portal https://open.dosm.gov.my
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial