WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MAXIS, ASTRO, BUMI ARMADA DAN MEASAT SUMBANG RM5 JUTA KEPADA DANA IHSAN MADANI

13/12/2024 01:33 AM

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Empat organisasi iaitu Maxis, Astro, Bumi Armada dan MEASAT hari ini menyumbang RM5 juta secara kolektif kepada Dana Ihsan MADANI bagi menyokong usaha bantuan serta pemulihan banjir yang sedang giat dilaksanakan.

Perkara itu dikongsikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di laman Facebook.

"Setiap organisasi telah memainkan peranan penting dalam membantu komuniti-komuniti yang terjejas melalui pelbagai inisiatif kemanusiaan. Moga sumbangan ini meringankan beban ditanggung pihak yang terjejas sewaktu dilanda musibah banjir ini, insya-Allah," katanya.

Sementara itu, kenyataan bersama keempat-empat organisasi memaklumkan sumbangan tersebut telah disampaikan kepada Anwar oleh Pengerusi Astro Malaysia Bhd Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz, Pengerusi Bumi Armada Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda, Pengerusi sementara Maxis Datuk Hamidah Naziadin, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis Goh Seow Eng dan Pengarah MEASAT Shaharul Rezza Hassan.

Menurut kenyataan itu, Maxis telah menyumbang sebanyak RM2 juta manakala Astro, Bumi Armada dan MEASAT masing-masing menyumbang RM1 juta.

"Sumbangan tunai secara kolektif itu adalah bagi membantu mangsa susulan kesan ketara banjir baru-baru ini di beberapa negeri di seluruh Malaysia terutama di wilayah Pantai Timur.

"Selain itu, setiap organisasi telah memainkan peranan dalam membantu komuniti terjejas menerusi pelbagai inisiatif kemanusiaan," katanya.

Selain itu, kenyataan tersebut memaklumkan Maxis telah mengagihkan sejumlah 4,000 kad SIM mudah alih dan tambah nilai di pusat pemindahan sementara (PPS), menyediakan bekalan barang keperluan kepada 1,000 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia yang terjejas akibat banjir selain bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa membabitkan amaran banjir serta respons.

"Maxis dan MEASAT komited dalam memastikan ketersambungan yang boleh diharapkan di kawasan banjir dengan menyediakan sambungan WiFi percuma, mudah alih dan jalur lebar satelit di PPS serta kawasan terjejas selain bagi operasi menyelamat," katanya.

Kenyataan itu memaklumkan Astro secara aktif telah menunjukkan komitmen dalam membantu komuniti terjejas banjir baru-baru ini melalui usaha di bawah Tabung Bantuan Yayasan Astro Kasih.

Sumbangan orang awam dan pihak korporat turut digerakkan untuk membantu mereka yang memerlukan dengan mengumpul bekalan seperti makanan kering dan barang keperluan rumah. 

"Selain itu, mangsa banjir yang layak akan mendapat gantian Astro Box secara percuma. Sukarelawan Astro juga bersedia membantu dalam usaha pembersihan dan pemulihan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan