KUALA LUMPUR, Dec 13 (Bernama) -- Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur 2024 ke-10 (KLIMS 2024) menarik penyertaan 183,221 pengunjung sepanjang tujuh hari penganjuran.
Acara itu yang berakhir pada 11 Disember mempamerkan hampir 70 jenama automotif dan mobiliti terkemuka, bertemakan “Beyond Mobility” yang menekankan aspek kelestarian dan elektrifikasi sebagai teras inovasi.
Antara jenama terkenal yang mengambil bahagian adalah Toyota, Perodua, Proton, Honda, Mitsubishi dan Nissan.
Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA) Mohd Shamsor Mohd Zain dalam kenyataan hari ini berkata acara ini mengetengahkan keupayaan Malaysia yang semakin berkembang dalam landskap mobiliti global.
“KLIMS 2024 menggambarkan komitmen Malaysia untuk membentuk masa depan pengangkutan dan ini memperkuat kedudukan kita sebagai pemain utama dalam ekosistem mobiliti global sekali gus memberikan inspirasi kepada kerjasama dan inovasi di seluruh industri.
“Kami teruja untuk memperkukuh momentum ini, memacu kemajuan dan menetapkan penanda aras baharu ketika kami mengemudi masa depan mobiliti,” katanya.
Mohd Shamsor berkata KLIMS 2024 tidak akan berjaya tanpa sokongan teguh daripada penaja termasuk UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT), Perodua Sales Sdn Bhd, DRB-HICOM EZ-Drive Sdn Bhd (Avis Malaysia) dan banyak lagi.
Menurut kenyataan itu pempamer menerima pengiktirafan berikutan kreativiti dan kecemerlangan reka bentuk yang luar biasa dengan pemberian Anugerah Reka Bentuk Reruai Terbaik yang menghargai pemenang dalam pelbagai kategori.
Bagi kategori pengeluar peralatan tulen (OEM) (400 meter persegi dan ke atas), UMWT merangkul tempat pertama, diikuti Proton Holdings Bhd di tempat kedua dan Perodua Sales Sdn Bhd di tempat ketiga.
Stellantis Malaysia Sdn Bhd muncul sebagai pemenang keseluruhan dalam kategori OEM (399 meter persegi dan ke bawah) manakala kategori bukan OEM menyaksikan PECCA Leather Sdn Bhd berada pada kedudukan pertama, diikuti Wedrink Enterprise Management (Malaysia) Sdn Bhd (kedua) dan Didi Group (ketiga).
KLIMS 2024 turut membawa kegembiraan kepada pengunjung dengan menawarkan hadiah menarik, yang menyaksikan pemenang hadiah utama Mohd Azzarain Abdul Aziz membawa pulang sebuah Toyota Yaris 1.5G Limited manakala pemenang hadiah pertama Leaw Xiu Qi menerima Perodua Axia.
Kejayaan penganjuran acara ini dan pengiktirafan kepada pempamer yang mengetengahkan kreativiti dan inovasi serta pemenang diraikan pada majlis minum petang yang dianjurkan MAA.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial