WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MEGAT D SHAHRIMAN KEKAL TERAJUI MPM

14/12/2024 04:30 PM

KUALA LUMPUR, 14 Dis (Bernama) – Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berjaya mempertahankan jawatan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) buat penggal kedua berturut-turut pada Mesyuarat Agung Tahunan MPM kali ke-25, hari ini.

Megat D Shahriman mengetepikan pencabarnya yang juga bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail dengan keputusan 14-10 pada mesyuarat itu, sekali gus kekal menduduki kerusi nombor satu tersebut bagi penggal 2025-2028.

Beliau yang menjawat jawatan Presiden MPM sejak 2019 bersyukur kerana ahli gabungan MPM masih memberi kepercayaan kepadanya untuk memimpin badan induk sukan para negara.

Megat D Shahriman berkata beliau akan memberikan komitmen penuh untuk memperkasakan MPM menerusi janji manifestonya baru-baru ini.

“Alhamdulillah, saya akan beri yang terbaik untuk terus menabur bakti buat negara...terima kasih juga kepada Ahmad Shapawi yang sudi bertanding,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

"Saya pasti semua yang bertanding tiada yang menang mahupun kalah. Apa yang penting adalah tugas kami selepas ini untuk menaikkan martabat organisasi (MPM),” katanya.

Antara janji manifestonya adalah menyediakan program latihan bagi atlet berprestasi tinggi yang berada di luar Program Podium MSN, menarik lebih banyak kejohanan antarabangsa di dalam negara selain mewujudkan satu pendapatan pasif bagi mengukuhkan sumber kewangan MPM.

Beliau turut terbuka untuk menerima pandangan Ahmad Shapawi dalam usaha memartabatkan pembangunan sukan para negara selain menjalin hubungan lebih baik bersama MSN.

“Saya sangat menghormati Ahmad Shapawi kerana beliau seperti abang kepada saya. Kami juga akan bekerjasama secara lebih konstruktif dengan MSN,” katamnya.

Sementara itu, Ahmad Shapawi mengucapkan selamat maju jaya kepada barisan kepimpinan MPM bagi penggal baharu dan bersedia menghulurkan bantuan sekiranya khidmat atau pandangannya diperlukan.

Barisan kepimpinan MPM 2025-2028:

Presiden: Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin

Timbalan Presiden: KM Rajendran Mutusamy

Naib Presiden (OKU): Datuk Mah Hassan Omar

Naib Presiden: Datuk Amarjit Singh Gill, Dr Ang Kean Koo, Joshua Edgar Mariyee Joseph

Setiausaha Agung: Datuk R. Subramaniam 

Bendahari: Kumarusamy P. Sithambaran

Naib Bendahari: Rattna Aizan Mohd Idris

--BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan