WILAYAH - SARAWAK > BERITA

EMPAT SEKAWAN LEKA HISAP DADAH DITAHAN

16/12/2024 02:28 PM

KULAI, 16 Dis (Bernama) -- Polis menahan empat lelaki yang sedang leka menghisap dadah dalam serbuan di Jalan Seelong-Ulu Tiram di sini, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Kulai ACP Tan Seng Lee berkata kesemuanya yang berusia antara 33 hingga 49 tahun ditahan bersama empat peket dadah disyaki heroin seberat 1,036 gram. 

"Ketika serbuan, mereka cuba melarikan diri namun gagal selepas dikepung pihak polis. Mereka juga dipercayai baru selesai mengambil dadah di kawasan itu.

"Siasatan awal mendapati mereka adalah penganggur dan mendapatkan bekalan dadah dari luar daerah ini," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut beliau empat sekawan itu didapati positif dadah jenis morfin selain memiliki empat rekod jenayah lampau berkaitan dadah serta jenayah.

Tan berkata dalam operasi berasingan, pihaknya menahan lelaki berusia 43 tahun bersama 21.78 gram dadah disyaki heroin di Lorong Bahagia, Bukit Batu di sini pada awal pagi Sabtu.

Beliau berkata menerusi kedua-dua serbuan itu, polis merampas dadah berjumlah RM11,600, yang dipercayai boleh digunakan sebanyak 2,000 penagih.

Kesemua lima lelaki terbabit, katanya kini direman hingga Sabtu ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan