WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KASTAM GAGALKAN CUBAAN SELUDUP MINUMAN KERAS, AYAM BEKU LEBIH RM1.3 JUTA DI SABAH

17/12/2024 04:29 PM

KOTA KINABALU, 17 Dis (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya menggalkan cubaan menyeludup minuman keras dan ayam sejuk beku bernilai RM1.32 juta dalam empat siri rampasan berasingan baru-baru ini.

Penolong Ketua Pengarah JKDM Sabah Siti Mang berkata modus operandi yang digunakan untuk menyeludup 7,010 karton minuman keras pelbagai jenama itu adalah dengan membuat pengikraran palsu pada borang kastam, manakala 28,000 kilogram ayam sejuk beku pula dibawa masuk tanpa memiliki permit import yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

"Rampasan pertama dilakukan hasil pemeriksaan terhadap sebuah kontena di Pelabuhan Sepanggar pada 12 Nov lalu. hasil pemeriksaan mendapati kontena berkenaan mengandungi 2,500 karton minuman keras yang tidak berkastam bernilai keseluruhan sebanyak RM376,233.

“Kes kedua diperoleh pada 3 Dis 2024 kira-kira 9.50 pagi, apabila sepasukan pegawai kastam dari Bahagian Penguatkuasaan Kota Kinabalu menahan dan memeriksa sebuah kontena di kawasan pemeriksaan kastam di Pelabuhan Sepanggar, Kota Kinabalu," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata hasil pemeriksaan ke atas kontena tersebut juga mendapati minuman keras disyaki melanggar peraturan di bawah Akta Kastam 1967.

“Minuman keras yang merupakan barangan larangan dalam kes ini berjumlah 2,500 karton, bersamaan dengan 19,200 liter, yang dianggarkan bernilai RM72,768 dengan jumlah cukai yang terlibat sebanyak RM297,676,” katanya

Siti Mang berkata rampasan ketiga berlaku pada 20 Nov lepas apabila sebanyak 2,010 karton minuman keras jenama berjaya dirampas dengan anggaran nilai RM292,088.24 termasuk cukai yang terlibat di Pelabuhan Sepanggar.

Beliau berkata, rampasan keempat pula melibatkan pasukan penguatkuasaan yang berjaya merampas 28,000 kilogram ayam sejuk beku bernilai RM285,600, termasuk cukai yang terlibat, yang juga cuba diseludup masuk melalui Pelabuhan Sepanggar pada 6 Dis lepas.

Siti Mang berkata siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967 dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak kurang sepuluh kali ganda nilai barang atau RM100,000 dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan