WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kementerian Komunikasi Teruskan Usaha Angkat Industri Filem Negara Ke Peringkat Global

19/12/2024 03:24 PM

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Kementerian Komunikasi melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sentiasa melaksanakan usaha berterusan untuk mengangkat industri perfileman negara ke peringkat global.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata antara usaha dilaksanakan ialah melalui inisiatif pembangunan industri filem tempatan merangkumi aspek pembangunan modal insan, pembiayaan kewangan serta pemasaran kandungan kreatif filem tempatan.

“Dalam aspek pembangunan modal insan, FINAS menawarkan pelbagai latihan teknikal dan kursus bertaraf profesional dalam bidang pengarahan, penulisan skrip, produksi, penyuntingan serta aspek teknikal seperti pengendalian kamera dan pencahayaan, Kesan Visual (VFX) dan lain-lain.

“Inisiatif ini juga melibatkan kolaborasi dengan pakar serta tenaga pengajar antarabangsa bertujuan memperkenalkan teknik, inovasi dan pengalaman terbaik daripada industri perfileman global kepada penggiat tempatan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Abdul Nasir Idris mengenai usaha kerajaan dalam menaikkan industri perfileman negara ke peringkat global.

Teo berkata sepanjang tahun ini, FINAS melaksanakan 64 program pembangunan modal insan dalam bidang kreatif perfileman melibatkan 3,925 peserta di seluruh negara.

Menurut beliau, dalam aspek pembiayaan kewangan, kerajaan melalui FINAS memperuntukkan sejumlah RM16 juta bagi Dana Kandungan Kreatif (DKK) tahun ini bagi tujuh kategori dana iaitu Dana Dokumentari Kenegaraan, Dana First Time Amateur Filmmaker (FAME), Dana Co-Pro (Filem Cereka dan Dokumentari), Dana Pembangunan Skrip, Dana Penyertaan Festival Antarabangsa, Dana Pengiktirafan dan Dana Program TV Kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Beliau berkata penyaluran peruntukan itu bagi menggalakkan penghasilan kandungan kreatif yang berkualiti dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

“Antara contoh kejayaan DKK ialah filem cereka tempatan 'Abang Adik' arahan Jin Ong yang memenangi dua anugerah Filem Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik (Wu Kang-ren) kategori Snow Leopard di Festival Filem Asia Antarabangsa (AWFF) ke-10 yang berlangsung dari 13 hingga 21 Nov 2024 di The Culver Theater, Los Angeles, Amerika Syarikat.

“Filem ini turut mencipta sejarah buat filem Malaysia dengan mengetepikan 15 filem antarabangsa mewakili negara masing-masing bagi kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik di Anugerah Akademi ke-97 (Oscars), filem Abang Adik lakonan Wu Kangren dan Jack Tan juga mendapat galakan Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) selain DKK,” katanya.

Selain itu, beliau berkata melalui inisiatif pemasaran kandungan kreatif tempatan, FINAS juga bertindak sebagai pemudah cara dan giat mempromosi kandungan kreatif tempatan di pasaran antarabangsa antaranya European Film Market di Jerman, Hong Kong International Film and TV Market (HK Filmart), Marche du Film dan MIPCOM di Cannes, Perancis serta Asia TV Forum and Market (ATF) di Singapura.

Teo berkata promosi pemasaran itu turut melibatkan syarikat produksi tempatan dan penyertaan tersebut layak mendapat insentif Market Development Grant (MDG) yang ditawarkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Festival filem antarabangsa ini turut diuar-uarkan di laman sesawang rasmi FINAS bagi mempermudahkan penggiat industri filem tempatan untuk mendapatkan maklumat serta FINAS akan membantu penyertaan mereka yang berjaya terpilih oleh penganjur siri festival filem antarabangsa melalui Dana Promosi dan Penyertaan Antarabangsa (DPPA).

Menjawab soalan tambahan Abdul Nasir sama ada terdapat usaha diambil untuk mempromosi kebudayaan dan warisan tempatan melalui filem untuk menarik perhatian pasaran antarabangsa, Teo berkata satu daripada kategori DKK adalah dokumentari kenegaraan yang mempromosi elemen warisan negara.

“Kita ada FIMI, kita bagi 30 peratus rebat dan pada masa sama kalau filem itu mengandungi unsur-unsur boleh mempromosi Malaysia, mereka juga boleh layak untuk dapat tambahan rebat sebanyak lima peratus. Ini adalah usaha kementerian untuk memastikan karya-karya berkualiti tinggi ini juga boleh dapat insentif tambahan sekiranya dalam karya mereka memang bantu untuk promosi warisan Malaysia atau tempat pelancongan Malaysia,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Seri Dr Awang Sariyan mengenai cadangan menumpukan penghasilan filem berbentuk dokumentari yang mengangkat sejarah dan kebudayaan negara, Teo berkata kementerian menyediakan peruntukan menerusi DKK bagi sektor filem termasuk bagi tujuan tersebut.

“Kami beri kebebasan kepada penerbit untuk menentukan apa jenis kandungan sesuai untuk mereka, di RTM kami sudah ada enam saluran. Kami bekerjasama bagi dana kepada penerbit tempatan untuk mewujudkan program berkualiti tinggi.

“Jadi saya percaya apabila kita hendak mempromosi Malaysia bukan sahaja dengan bentuk dokumentari yang kami sudah sediakan dana tetapi pada masa filem seperti ‘Abang Adik’ telah bantu Malaysia dapat beberapa anugerah di peringkat antarabangsa.

“Ini juga akan bantu bawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa contohnya ‘Upin Ipin’ dan ‘Mechamato’ dapat anugerah animasi terbaik di Jepun. Bukan itu sahaja, sekarang drama ‘Rampas Cintaku’ siri kedua ditayangkan di iQIYI dapat tontonan sebanyak 100 juta,” katanya.

Beliau seterusnya berharap penggiat filem bersama-sama menghasilkan lebih banyak kandungan berkualiti tinggi bagi membantu mengharumkan nama negara.

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Seri Dr Zurainah Musa mengenai pandangan berkaitan ekosistem industri perfileman dunia yang melakukan penggambaran di Malaysia, Teo berkata ia mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan seperti jurusolek, kru penggambaran, perhotelan dan penyedia makanan selain membangunkan industri pelancongan negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan