WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Dewan Negara Lulus Lima Lagi RUU Termasuk Undang-undang Islam

19/12/2024 09:22 PM

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Dewan Negara hari ini meluluskan lima lagi rang undang-undang (RUU) dengan dua daripadanya adalah berkaitan Islam.

Antaranya RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan)(Pindaan) 2024 dan RUU Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan)(Pindaan) 2024 di bawah Jabatan Perdana Menteri serta RUU Perkongsian Data 2024 di bawah Kementerian Digital. 

Turut diluluskan RUU Majlis Perundingan Gaji Negara (Pindaan) 2024 dan RUU Ordinan Buruh Sarawak (Pindaan) 2024 di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, ketika menggulung perbahasan RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan), berkata pindaan ke atas Seksyen 78 akta itu adalah bagi membenarkan Imam Rawatib dan Bilal meneruskan perkhidmatan walaupun telah mencapai usia 60 tahun.

“Kita ada kes bilal dan imam yang telah mencapai usia 60 tahun tetapi sangat dihormati dalam masyarakat, jadi pindaan ini dibuat untuk membenarkan mereka meneruskan perkhidmatan,” katanya.

Bagi RUU Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan), Mohd Na'im berkata pindaan antara lain bertujuan mewujudkan dana di Bahagian Sokongan Keluarga yang membayar bantuan pendahuluan sebanyak RM1,000 setiap bulan sekiranya bapa atau suami tidak membayar nafkah yang diperintahkan oleh Mahkamah Syariah.

“Sekiranya perintah nafkah ada tunggakan sebanyak RM6,000, Bahagian Sokongan Keluarga akan paksa suami bayar RM6,000. Bila dia bayar balik, duit itu akan masuk semula dalam dana… pada masa sama, isteri dan anak-anak dapat duit. Mereka boleh teruskan kehidupan dengan bantuan pendahuluan yang diberikan,” katanya.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad pula berkata melalui pindaan terhadap Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732), pekerja kontrak perantisan kini tidak lagi boleh dieksploitasi oleh majikan khususnya ketika dalam fasa latihan.

Beliau berkata ini kerana majikan yang gagal mematuhinya berdepan denda maksimum RM10,000 bagi setiap pekerja bagi kesalahan pertama dan RM20,000 atau penjara melebihi lima tahun (kesalahan berulang).

“Kementerian melalui Jabatan Tenaga Kerja akan sentiasa melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan mengenai pelaksanaan perintah gaji itu supaya tiada pelanggaran oleh pihak majikan dan kita juga menyeru perantis membuat aduan kepada jabatan jika perkara sama berlaku,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU Majlis Perundingan Gaji Negara (Pindaan) 2024.

Sementara itu, Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata melalui RUU Perkongsian Data 2024, kerajaan dapat memastikan setiap agensi yang dipertanggungjawab untuk menyimpan data mewujudkan sistem keselamatan siber yang setara dengan keperluan syarikat luar.

“Di situ juga kita dapat memastikan agensi-agensi ini melaksanakan audit supaya segala kekurangan boleh diperbaiki dan diperketat mengikut standard yang ditetapkan oleh kerajaan atau peruntukan yang ditafsir di bawah undang-undang,” katanya ketika menggulung perbahasan RUU berkenaan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan