WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Air Di Kampung Kelaik Tiada Pelanggaran Had Piawaian Logam Berat - KKM

20/12/2024 12:12 AM

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Siasatan yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) terhadap sumber bekalan air penduduk Kampung Kelaik, Pos Blau, Gua Musang, Kelantan yang didakwa tercemar akibat aktiviti perlombongan mendapati tiada pelanggaran had piawaian kandungan logam berat berlaku.

Dalam satu kenyataan hari ini, KKM memaklumkan persampelan air telah dilakukan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kelantan melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Gua Musang pada 9 Dis lepas di beberapa lokasi yang menjadi sumber bekalan air penduduk Kampung Kelaik.

“Keputusan ujian makmal terhadap sampel air tandak (gravity feed system atau GFS) yang disediakan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) menunjukkan tiada pelanggaran had piawaian kandungan logam berat seperti aluminium, arsenik, ferum dan kromium.

“Bagaimanapun, KKM melalui JKN dan PKD akan terus memantau kualiti bekalan air di Kampung Kelaik secara berkala dengan kerjasama pihak JAKOA,” menurut kenyataan itu.

KKM turut memaklumkan bahawa lawatan lapangan ke Kampung Kelaik dan kawasan sekitar termasuk lombong-lombong berdekatan telah dijalankan pada 5 Dis selepas menerima aduan berhubung pencemaran alam sekitar di kampung tersebut pada 2 Dis.

Selain itu, KKM telah melaksanakan saringan kesihatan terhadap 200 penduduk di kawasan tersebut pada 23 Sept lepas menerusi Program Jalinan Kasih  dan semakan data dari Klinik Kesihatan Kuala Betis dan Klinik Kesihatan Pos Brooke mendapati tiada kes akut disebabkan keracunan logam berat dilaporkan setakat ini.

Walau bagaimanapun, mengambil kira perkembangan semasa, KKM melalui Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) akan menjalankan kajian lanjutan bagi mengenal pasti kesan kronik pendedahan logam berat terhadap kesihatan penduduk Kampung Kelaik.

“KKM melalui perkhidmatan kesihatan sedia ada akan terus memantau tahap kesihatan penduduk Kampung Kelaik. Penduduk dinasihatkan supaya mendapatkan pemeriksaan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya mengalami sebarang isu kesihatan, termasuk penyakit kulit,” meurut kenyataan itu.

Pada masa sama, penduduk kampung juga dinasihatkan agar terus menggunakan sumber air bersih bagi keperluan harian untuk mengelakkan sebarang masalah kesihatan yang berpunca daripada air tercemar.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan KKM telah memulakan siasatan berhubung dakwaan keracunan kromium di Kampung Kelaik.

Semalam, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata arahan henti kerja perlombongan telah dikeluarkan kepada dua syarikat yang dikhuatiri menyebabkan pencemaran di Sungai Kelaik, Gua Musang.

Nik Nazmi menjelaskan keputusan itu dibuat berdasarkan siasatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) terhadap pematuhan kedua-dua syarikat berkenaan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan