WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kemiskinan Tegar: Hentikan Naratif Pemprofilan Perkauman - PM Anwar

21/12/2024 03:21 PM

SUBANG, 21 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan agar segala naratif berkaitan pemprofilan perkauman dalam isu pemberian bantuan dan usaha pembasmian kemiskinan tegar di negara ini dihentikan segera.

Beliau berkata dasar kerajaan adalah jelas, iaitu memberi bantuan tanpa sebarang diskriminasi kaum dalam usaha menangani kemiskinan tegar.

“Sebab itu, saya sangat tidak setuju dengan ’racial profiling’ (pemprofilan perkauman). Jika anda lihat dasar saya sejak dulu, ketika saya di Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), saya menentang Dasar Ekonomi Baru dari sudut penekanan ‘racial profiling’,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata demikian bagi menjawab dakwaan segelintir pihak yang mendakwa peruntukan tambahan RM130 juta untuk masyarakat India sebagai tidak mencukupi.

Beliau menjelaskan bahawa peruntukan RM130 juta itu hanyalah sebahagian daripada bantuan untuk kaum tersebut, yang turut merangkumi beberapa inisiatif di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Perdana Menteri berkata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R Ramanan juga sudah diberikan arahan untuk menambah lebih banyak inisiatif di bawah kementerian itu bagi komuniti India, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Anwar turut meluahkan kekesalan terhadap pihak yang cuba memainkan sentimen perkauman dengan mengatakan kononnya Melayu terancam di bawah pimpinan Kerajaan MADANI selain masyarakat India dipinggirkan dan tidak diberi perhatian oleh kerajaan. 

Beliau berkata ada juga pihak yang mendakwa beliau sebagai zalim dengan menuduh kononnya menganaktirikan negeri-negeri pembangkang, sedangkan Kerajaan Persekutuan telah berlaku adil dengan memastikan peningkatan perbelanjaan bagi semua negeri di bawah pentadbiran pembangkang.

Katanya ini dibuktikan antaranya dengan peningkatan pemberian negeri yang disalurkan Kerajaan Persekutuan, seperti Perlis yang meningkat kepada RM215.97 juta pada tahun hadapan, Kedah (RM532.07 juta), Kelantan (RM429.05 juta), dan Terengganu (RM450.12 juta).

Anwar berkata selain itu, terdapat juga peningkatan dalam peruntukan projek pembangunan termasuk projek tebatan banjir di Perlis iaitu sebanyak RM15 juta pada tahun hadapan, Kedah (RM132 juta), Kelantan (RM146.19 juta) dan Terengganu (RM77.1 juta). 

Bagi projek bekalan air pula, Perlis bakal disalurkan RM11 juta pada tahun hadapan, Kedah (RM78.6 juta), Kelantan (RM515.6 juta) dan Terengganu RM2.6 juta, katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan