WILAYAH - SARAWAK > BERITA

309 Peserta Latihan Dan Kemahiran Maiwp Tamat Latihan Tahun Ini

22/12/2024 04:42 PM

KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) -- Sebanyak 309 peserta berjaya menamatkan latihan masing-masing dalam pelbagai bidang pada program latihan dan kemahiran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), tahun ini.

Pengerusi MAIWP Syed Kamarulzaman Syed Kabeer berkata program itu, dilaksanakan menerusi kerjasama strategik bersama 12 agensi dengan jumlah keseluruhan peruntukan bernilai RM4,434,384.

Beliau berkata kesemua peserta juga telah ditawarkan peluang pekerjaan dengan pendapatan minimum RM1,800 seorang.

“Usaha ini dilihat sebagai satu langkah untuk mengajak dan mengupayakan pelajar asnaf, agar tidak lagi bergantung penuh kepada bantuan zakat, dengan mencipta peluang pekerjaan kepada mereka.

“Selain itu, ia juga meletakkan satu tanggungjawab kepada belia untuk membantu keluarga masing-masing, seterusnya menjadi pembayar zakat kepada MAIWP,” katanya semasa berucap merasmikan Majlis Graduasi dan Apresiasi Latihan dan Kerjaya MAIWP kali ketiga hari ini.

Turut hadir pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Datuk Mohd Nizam Yahya.

Beliau berkata usaha itu selari dengan maqasid syariah, iaitu membantu penerima zakat keluar daripada kitaran kemiskinan dan seterusnya menjadi pembayar zakat serta menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara secara keseluruhan.

“Islam tidak mahu melihat umatnya hanya menunggu atau mengharapkan bantuan, sebaliknya penerima bantuan itu sendiri harus berusaha dan bertekad untuk meningkatkan taraf hidup, keluar daripada kepompong kemiskinan dan berazam untuk menjadi pembayar zakat pula,” katanya.

Seramai 200 daripada 309 peserta yang berjaya menamatkan latihan hadir pada majlis itu dan 11 pelatih terbaik menerima sagu hati bernilai RM500 serta sijil penghargaan setiap seorang.

Turut diraikan 23 peserta Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan yang mengikuti latihan Pertubuhan Amal Pembangunan Usahawan OKU Penglihatan Malaysia (Perkum), serta ditawarkan peluang pekerjaan.

Syed Kamarulzaman berkata sejak pelaksanaan program pembangunan asnaf pada tahun 2022, MAIWP berjaya melatih dan membimbing golongan itu menerusi pelbagai inisiatif, membabitkan perbelanjaan sebanyak RM9.37 juta dengan penglibatan 6,837 peserta. 

Beliau berkata setakat 15 Dis, MAIWP telah mengagihkan dana zakat RM1.006 bilion menerusi pelbagai skim bantuan dan program serta aktiviti pembangunan asnaf di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang telah dilaksanakan sepanjang tahun.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan