WILAYAH - UTARA > BERITA

Ibu Tidak Benar Anak Jadi Nelayan Lagi, Risau Insiden Hanyut Berulang

23/12/2024 03:32 PM

GEORGE TOWN, 23 Dis (Bernama) -- Ibu kepada seorang daripada nelayan yang dihanyutkan selama enam hari sebelum ditemui selamat semalam tidak akan membenarkan Muhammad Ikmal Hakimi Ismail, 22, meneruskan kerja sebagai nelayan kerana bimbang kejadian sama berulang.

Hanita Ismail, 47, berkata Muhammad Ikmal Hakimi masih muda dan belum mahir mengenai keadaan laut, malah anaknya itu tidak sesuai menjadi nelayan kerana berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) iaitu masalah pembelajaran.

"Saya memang tidak akan benarkan dia (Muhammad Ikmal) untuk turun ke laut lagi selepas ini, cukuplah dengan apa yang berlaku kerana saya tidak mahu kehilangan dia...enam hari ini dia hanyut pun macam-macam saya fikir dan rasa, rasa macam hilang nyawa lepas tahu dia tak dijumpai, serta hanya menangis setiap hari.

"Jadi biarkan meneruskan tugas sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) sahaja selepas ini kerana kerjaya nelayan tidak sesuai buat anaknya dan kami orang darat bukan orang laut," katanya yang menangis gembira selepas dapat berjumpa kembali anaknya hari ini.

Beliau ditemui di Jeti Limbungan Batu Maung di sini hari ini selepas menyambut ketibaan Muhammad Ikmal dan Nor Hasrul Abdullah yang dibawa pulang dari Acheh, Indonesia dengan bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang.

Hanita berkata beliau juga hanya tidur selama dua jam sahaja semalam kerana tidak sabar untuk bertemu dengan anak keempat daripada lima beradik itu dan berulang kali mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menyelamatkan anaknya.

Sementara itu, ibu kepada Nor Hasrul, Noor Azilah Jamaluddin, 44 berkata beliau akan membenarkan anak sulungnya itu untuk terus turun ke laut kerana menjadi nelayan adalah minat anaknya.

"Cuma saya mahu dia tingkatkan keselamatan sebelum turun ke laut dan apa yang berlaku adalah pengalaman berharga kepada mereka," katanya.

Muhammad Ikmal Hakimi dan rakannya Nor Hasrul dilaporkan hilang selepas bot dinaiki mereka di perairan Kerachut, Kuala Sungai Pinang dekat sini hanyut dalam kejadian pada 16 Dis lepas yang kemudiannya ditemui selamat di perairan Acheh semalam sebelum dibawa pulang ke pangkuan keluarga masing-masing kira-kira 8 pagi hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya ACP Sazalee Adam berkata bot dua nelayan itu telah memasuki sempadan Acheh iaitu sejauh 60 batu nautika daripada negeri ini sebelum mereka diselamatkan nelayan di sana kira-kira 9 pagi semalam.

Beliau memaklumkan mereka juga berada dalam keadaan baik tanpa sebarang kecederaan, namun agak kelesuan.

"Jarak mereka melepasi sempadan ke Acheh pun agak jauh juga dan diselamatkan oleh nelayan di sana  sebelum memaklumkan kepada kami di sini, APMM terus ke perairan sempadan negara untuk mengambil kedua-duanya semalam.

"APMM telah berjaya menyelamatkan dua nelayan pada 8 malam tadi sebelum membawa mereka pulang dan sampai di Jeti Limbongan Batu Maung pada 3 pagi. Mangsa diberikan pemeriksaan awal oleh pasukan perubatan sebelum dihantar ke Hospital Balik Pulau untuk pemeriksaan lanjut," katanya.

Beliau berkata pihak APMM turut menunda bot mereka kembali ke Pulau Pinang dan pemeriksaan awal mendapati bot dalam keadaan baik, cuma mengalami kerosakan pada enjin sahaja.

Sabtu lepas, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua nelayan berkenaan dihentikan selepas tiada sebarang petunjuk ditemukan untuk mengesan mereka selepas pasukan keselamatan menjalankan operasi SAR selama lima hari meliputi kawasan seluas 4,802 batu nautika atau 8,884 kilometer persegi, namun gagal menemukan kedua-dua mangsa dan bot mereka.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan