WILAYAH - TENGAH > BERITA

RM15.09 Bilion Projek Berkaitan Lebuh Raya Dianugerah Kepada Kontraktor Bumiputera

23/12/2024 02:39 PM

BANGI, 23 Dis (Bernama) -- Nilai projek berkaitan lebuh raya yang dianugerahkan kepada kontraktor bumiputera gred pendaftaran G7 ke G1 setakat suku ketiga 2024 mencapai RM15.09 bilion, hampir menyamai nilai projek yang diagihkan kepada golongan itu pada tahun lepas iaitu RM15.10 bilion.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata daripada jumlah itu, RM335 juta telah dianugerahkan kepada 1,631 syarikat bumiputera G1 tahun ini, berbanding RM333 juta yang diterima oleh 1,585 syarikat G1 pada tahun lepas.

"Ini menunjukkan peningkatan dalam penglibatan syarikat bumiputera dalam projek-projek lebuh raya, yang mencerminkan kemampuan dan komitmen mereka dalam menyumbang kepada pembangunan infrastruktur negara," katanya.

Ahmad Maslan berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Matchmaking Persatuan Kontraktor Bumiputera Bersama Syarikat Konsesi Lebuh Raya di bangunan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Kerja Raya Datuk Mohd Sakeri Abdul Kadir, Ketua Pengarah LLM Datuk Sazali Harun, Presiden Persatuan Syarikat-Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia Datuk Zakaria Ahmad Zabidi dan Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz.

Terdahulu dalam ucapannya Ahmad Maslan berkata program matchmaking pada hari ini bertujuan meningkatkan penyertaan kontraktor bumiputera dalam projek berkaitan lebuh raya pada masa akan datang, sekali gus meningkatkan penguasaan ekonomi bumiputera.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan