MELAKA, 24 Dis (Bernama) -- Pemandu bas persiaran Noorisnien Khamid, 56, yang maut dalam nahas membabitkan lima kenderaan di KM204 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara di sini malam tadi dikatakan berubah sikap sejak beberapa bulan lepas.
"Arwah abang saya berubah sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Kalau jumpa, bersalam atau berpeluk dengan dia, mesti dia menangis," menurut adik mangsa, Noorismail Khamid, 50.
Noorismail berkata dia dimaklumkan nahas membabitkan abangnya daripada seorang rakan yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, yang terperangkap dalam kesesakan akibat kemalangan itu dan pada masa sama melihat gambar kad pengenalan mangsa yang tular menerusi media sosial.
"Sejak maghrib saya rasa tak sedap hati, mengantuk semacam... tak sangka ini (kemalangan) yang menimpa keluarga saya," kata anak bongsu daripada lapan beradik itu ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka di sini hari ini.
Noorismail berkata abangnya yang menetap di Kampung Tawakal, Kempas, Johor menjadi pemandu bas sambilan selepas berhenti kerja sebagai ketua pemandu di sebuah syarikat persiaran pada 2020 susulan COVID-19.
Menurut Noorismail, allahyarham akan bertemu dengannya sebelum memulakan perjalanan ke mana-mana destinasi namun tidak berbuat demikian semalam.
“Allahyarham meninggalkan empat anak dan seorang cucu. Jenazah abang saya dijangka dikebumikan selepas asar hari ini di Tanah Perkuburan Islam Kampung Maju Jaya, Kempas,” katanya.
Tujuh termasuk lima sekeluarga maut manakala 33 cedera dalam kemalangan 8.45 malam tadi membabitkan sebuah bas persiaran membawa 27 penumpang, dua lori, sebuah kereta dan MPV di KM204 Lebuhraya PLUS arah utara.
Siasatan awal mendapati bas persiaran itu terlanggar tayar lori yang tercabut di lorong tengah dan menyebabkan hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan tiga kenderaan hingga menyebabkan lima penumpang Toyota Estima dan pemandu bas berkenaan meninggal dunia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial