WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malaysia Perlu Perkukuh Transformasi Tenaga Kerja Untuk Persiapan Masa Depan

25/12/2024 01:01 PM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 25 Dis (Bernama) -- Tenaga kerja Malaysia perlu diperkukuh bagi memastikan mereka bersiap sedia untuk masa depan, terutamanya dalam sektor kecerdasan buatan (AI) dan tenaga boleh baharu (TBB), kata pengasas Learning Edge Perthpal Singh.

Learning Edge ialah organisasi latihan profesional dan korporat yang menumpukan kepada usaha membangunkan tenaga kerja Malaysia yang cekap dan bersemangat waja. 

Pada masa ini, Perthpal berkata hanya 35 hingga 40 peratus organisasi Malaysia mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja mereka bagi menghadapi cabaran daripada perkembangan dalam automasi dan teknologi baru muncul.

Menerusi satu temu bual eksklusif bersama Bernama, beliau mengetengahkan data daripada Forum Ekonomi Dunia, yang menganggarkan 44 peratus pekerja global akan menghadapi gangguan kemahiran yang ketara dalam tempoh lima tahun akan datang.

Malaysia, katanya, berisiko ketinggalan di belakang negara serantau seperti Singapura dan Vietnam sekiranya intervensi tidak dilaksanakan dengan segera.

"Jurang antara persiapan tenaga kerja kita pada hari ini dengan tuntutan industri pada masa akan datang semakin melebar pada kadar yang membimbangkan," katanya.

Perthpal berkata demikian sebagai merujuk kepada isu asas dalam sistem pendidikan Malaysia, apabila kurang daripada 50 peratus pelajar sekolah menengah kini mendaftar dalam aliran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) .

Daripada jumlah ini, katanya, hanya 21 peratus mengambil jurusan sains tulen, dan 27 peratus mendaftar dalam pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

“Angka-angka ini jauh di bawah tahap yang diperlukan untuk melahirkan tenaga kerja yang mampu memacu pertumbuhan dalam sektor permintaan tinggi seperti AI, TBB dan analitik data.

“Sementara itu, Singapura membuat pelaburan yang besar dalam pendidikan dan latihan, memastikan 70 peratus tenaga kerjanya berkemahiran tinggi,” katanya.

Perthpal juga berkata Vietnam turut menggandakan pelaburannya dalam program latihan teknologi sejak sedekad lalu, meletakkannya sebagai hab kompetitif di rantau ASEAN.

Namun di sebalik cabaran ini, beliau mengakui bahawa kerajaan Malaysia telah mengambil beberapa langkah penting dalam menangani isu-isu ini.

“Inisiatif seperti Dasar STEM Negara dan peruntukan RM6.8 bilion untuk TVET dalam Belanjawan 2024 adalah satu langkah yang wajar.

“Program seperti ‘Pemerkasaan TVET’ juga telah mula menyelaraskan kurikulum dengan keperluan pasaran, dan usaha untuk memberi inspirasi kepada pelajar melalui inisiatif seperti menghantar saintis muda ke sekolah adalah langkah ke arah yang betul,” katanya.

Bagaimanapun, Perthpal menegaskan bahawa usaha ini perlu dipergiatkan untuk merapatkan jurang yang semakin melebar.

“Malaysia berada di titik kritis. Walaupun kita telah menyediakan dasar dan inisiatif yang sewajarnya, namun isu pokok masih belum ditangani,” katanya.

Menurutnya, tiadanya hubungan selari antara akademik dan industri telah menyebabkan tenaga kerja Malaysia tidak bersedia untuk mendepani realiti pada masa depan.

Beliau menggesa agar asas sistem pendidikan dan latihan Malaysia dirombak untuk menekankan kepada pembelajaran praktikal, memberi tumpuan kepada aplikasi berbanding hafalan, terutamanya dalam program STEM dan TVET.

Selain itu, beliau turut menyeru kerjasama yang lebih erat antara sektor awam dan swasta, mencadangkan agar syarikat korporat melaksanakan sekolah atau universiti angkat untuk menyediakan pelajar dengan pendedahan dunia sebenar kepada teknologi baru muncul.

“Tanpa pembaharuan yang berani dan pelaburan strategik, Malaysia berisiko kehilangan peluang global bernilai US$1.7 trilion (US$1 = RM4.49) yang ditawarkan oleh Industri 4.0. Namun jika sebaliknya Malaysia berpotensi untuk mencapai sasaran menjadi negara berpendapatan tinggi lebih pantas, didorong oleh tenaga kerja yang bersedia untuk masa depan,” kata Perthpal.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan