WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Hubungan Baik Malaysia-China Signifikan Bagi Keselamatan Dan Kestabilan Serantau

25/12/2024 01:53 PM

BEIJING, 25 Dis (Bernama-CMG) -- Hubungan baik antara Malaysia dengan China bukan sahaja menguntungkan kedua-dua negara, tetapi juga adalah penting untuk keselamatan dan kestabilan serantau.

Demikian dinyatakan Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad ketika diwawancara oleh Kumpulan Media China (CMG) di sini baru-baru ini.

Beliau berkata selama setahun bertugas sebagai Duta Besar di China, beliau dapat menyaksikan secara langsung pelbagai visi antara pemimpin kedua-dua negara yang selari, menjadi asas kepada kerjasama dua hala antara Malaysia dan China.

"Penyertaan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) dan Ekspo Import Eksport Antarabangsa China (CIIE) sebagai negara tetamu kehormat menandakan komitmen Malaysia terhadap hubungan dua hala dengan China.

"Komitmen China dalam memastikan keterbukaan dan pembangunan bermutu tinggi adalah selaras dengan konsep komuniti berkongsi nasib sesama insan yang disarankan oleh Presiden Xi Jinping," kata beliau.

China menjadi rakan dagang terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut sejak 2009. China juga merupakan satu daripada sumber utama pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia.

Norman berkata pelaburan dari China telah memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor termasuk pembuatan dan infrastruktur di Malaysia.

"Inisiatif seperti menawarkan tarif sifar kepada negara membangun membuktikan komitmen China dalam mendorong perkongsian yang saling menguntungkan dan mempromosikan perkongsian bersama," kata Norman lagi.

Menyentuh pembangunan dan kestabilan serantau, beliau berkata Malaysia telah mengambil alih penyelaras hubungan ASEAN-China dan akan menyandang pengerusi ASEAN pada 2025. Malaysia diharapkan memanfaatkan peluang ini untuk memperkukuh lagi kerjasama serantau terutama dalam perdagangan ekonomi digital dan inovasi teknologi.

Norman juga mengucapkan selamat “Tahun Baharu Cina" kepada rakyat Malaysia dan China.

"Semoga pada 'tahun ular' ini, hubungan antara dua negara dapat terus berkembang dan menjadi lebih erat," kata beliau.

-- BERNAMA-CMG

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan